Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia!
Saya berbangga dapat bersama anda semua meraikan Hari Kebangsaan yang ke-68 dan tidak lama lagi, Hari Malaysia Ke-62.
Tahun ini menandakan tahun kelima saya berpeluang berkongsi pandangan bersama anda semua.
Sokongan dan maklum balas diterima sepanjang tempoh ini amat memberangsangkan, dan saya bersyukur dapat berinteraksi dengan ramai individu yang menghubungi saya secara langsung selepas membaca rencana saya.
Sejak rencana saya yang lalu, terdapat beberapa perkembangan baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Pada peringkat global, kita menyaksikan perubahan besar yang menggugat sistem peraturan antarabangsa yang sudah lama terbina, seolah-olah kita berada dalam era krisis berpanjangan tiada penghujungnya.
Hal ini bukan sekadar berkaitan isu tarif dan perang perdagangan, meskipun kedua-duanya sudah cukup membimbangkan. Persaingan antara kuasa besar semakin sengit dan ancaman terhadap keamanan sejagat semakin nyata.
Ramai pakar mengatakan, dunia kini berada di ambang peralihan, dari era stabil kepada satu susunan dunia baharu amat berbeza.
Mujurlah, berita dari tanah air kita ini jauh lebih positif. Sudah hampir tiga tahun kita menikmati kestabilan politik selepas melalui pertukaran empat Perdana Menteri dalam masa empat tahun.
Kestabilan politik yang dinikmati sejak beberapa tahun kebelakangan ini memainkan peranan penting, menarik minat pelabur asing dan tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan mampan.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran telah jatuh ke paras 3 peratus pada awal tahun ini, ia paras terendah dalam tempoh sedekad.
Pada masa sama, kadar inflasi turut mencatatkan penurunan kepada 1.2 peratus iaitu yang paling rendah dalam tempoh 51 bulan.
Jumlah pelaburan Malaysia bagi suku pertama tahun ini sahaja mencecah RM89.8 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, menandakan peningkatan stabil sebanyak 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pelaburan asing menyumbang sebanyak RM60.4 bilion, manakala pelaburan domestik menyumbang RM29.4 bilion.
Walaupun pencapaian ini memberangsangkan, kita tidak boleh leka. Impak sebenar pertumbuhan ekonomi masih tidak sama rata dan kesenjangan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia masih wujud.
Sebagai contoh, walaupun kadar inflasi keseluruhan adalah rendah, terdapat segmen ekonomi tertentu yang mengalami kenaikan harga melebihi kadar inflasi.
Tambahan pula, meskipun kadar pengangguran di Malaysia menunjukkan penurunan, kadar guna tenaga tidak penuh terus meningkat yang sebahagian besarnya berpunca daripada ketidakpadanan kemahiran yang berterusan dalam pasaran pekerjaan.
Dalam konteks ini, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dilancarkan kerajaan menggariskan kerangka strategik yang berfokus kepada masa hadapan dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, saksama dan prihatin.
Langkah ini bertujuan, memperkukuh kesiapsiagaan negara dengan daya tahan diperlukan untuk menghadapi era tidak menentu.
Perjuang keamanan berteras nilai murni

Saya turut berasa bangga melihat Malaysia, pada peringkat antarabangsa, menerima pengiktirafan sebagai negara yang memperjuangkan keamanan dan kepimpinan berteraskan nilai-nilai murni.
Pada peringkat serantau, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini semakin terserlah di persada antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pujian meluas atas ketokohan beliau dalam memperkukuh blok serantau sebagai entiti yang tegas dan berpengaruh.
Namun, saya berasa sedih apabila melihat ancaman polarisasi yang semakin mendalam.
Retorik perkauman dan agama masih digunakan oleh segelintir pihak demi kepentingan sendiri sekali gus melemahkan ikatan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia.
Yang lebih membimbangkan ialah taktik-taktik memecahbelahkan masyarakat masih digunakan ketika negara jiran sedang pesat membangun.
Perpaduan nasional amat penting bagi memastikan kita mampu bersaing secara berkesan di pentas global.
Wahai warga Malaysia sekalian, kita harus segera menyedari dan dengan jujur mengakui bahawa kepelbagaian negara kita bukanlah penghalang, sebaliknya ia adalah kekuatan yang memperkukuh identiti dan keutuhan kita sebagai sebuah bangsa.
Dengan kata lain, marilah kita secara aktif memanfaatkan kepelbagaian warisan etnik dan budaya agar lebih menyerlah dalam persaingan yang semakin global dan saling berhubung di persada dunia.
Memetik kata-kata Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al-Haj: “Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita selalu ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara.”
Kita mesti berpegang teguh kepada nilai-nilai bersama dan persamaan yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, bukannya sentiasa mengungkit perbezaan antara kita.
Sedang kita masih berbalah sesama sendiri, hal genting mendepani kita bukanlah cabaran semasa, tetapi masa depan tidak menentu yang sedang dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI).
AI dijangka bakal mengubah setiap aspek kehidupan dan lapisan masyarakat, termasuk landskap pekerjaan dan kerjaya.
Kadar inovasi berkembang begitu pantas sehingga ada pakar yang menjangkakan AI mampu menghapuskan sehingga 50 peratus pekerjaan kolar putih peringkat permulaan dalam beberapa tahun akan datang.
Namun, saya tetap optimis. Melalui interaksi saya dengan generasi muda masa kini, saya yakin mereka akan menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan potensi AI, sekali gus mengorak langkah ke arah era kemajuan yang gemilang.
Daya imaginasi, sifat ingin tahu dan semangat keusahawanan mereka meyakinkan saya, nilai kemanusiaan serta etika inilah yang akan membolehkan kita berkembang serta menyesuaikan diri untuk mengatasi cabaran mendepani kita.
Seperti yang sering saya tekankan, kita tidak boleh mengharungi cabaran era digital dengan
minda analog.
Untuk mengharungi cabaran itu, kita perlu berubah dari segi pemikiran, tingkah laku dan sikap kita.
Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan untuk menangani setiap masalah negara.
Sikap mengeluh dan merungut semata-mata tidak akan membawa sebarang penyelesaian.
Sebagai rakyat dan anggota masyarakat, kita perlu memainkan peranan lebih aktif dan konstruktif dalam membina masa depan inklusif, progresif dan mampan untuk semua.
Memetik kata-kata Mahatma Gandhi: “Jadilah perubahan yang anda ingin lihat di dunia ini.”
Malaysia adalah negara kita, inilah tanah air kita dan inilah masa depan yang kita bina bersama-sama.
Kita telah melangkah jauh bersama, bahu-membahu, hati sehati.
Dengan semangat kebangsaan yang kental, kita mampu membina Malaysia yang diimpikan.
Wahai rakyat Malaysia yang saya kasihi, kita semua bersama-sama dalam perjuangan ini. Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia!
© New Straits Times Press (M) Bhd



