saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris, China mudah meratah skuad hoki wanita negara 5-0 pada aksi kedua Trofi Juara-Juara Asia di Rajgir Bihar, India, hari ini.
Ia adalah kekalahan kali kedua berturut-turut dialami Malaysian Tigress bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim selepas tumbang 0-4 di tangan tuan rumah, semalam.
Pada aksi hari ini yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, anak buah Nasihin mempamer aksi cemerlang di babak pertama apabila hanya ketinggalan 0-1 selepas Yu Anhui menjaringkan gol padang minit ke-12.
Bagaimanapun kedudukan itu tidak dapat dipertahankan di separuh masa kedua selepas China ‘mengamuk’ dengan meledak empat gol bermula dengan pukulan sudut penalti Tan Jinzhuang minit ke-41.
Wang Lihang dan Jinzhuang menambah derita skuad hoki wanita negara apabila masing-masing menambah gol ketiga dan keempat hasil pukulan sudut penalti minit ke-49 dan 55.
Hao Guoting kemudian menutup aksi cemerlang China dengan menambah gol kelima menerusi jaringan padang tiga minit sebelum berakhir perlawanan.
“Saya rasa pemain sudah mempamerkan aksi terbaik mereka. Memandangkan lawan yang kita temui adalah pasukan China dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, bagi saya (jumlah) jaringan itu masih OK.
“Kita dapat menahan mereka (China) dalam tiga suku pertama tetapi di suku keempat dan terakhir pemain mula melakukan kesilapan.
“Pemain muda menunjukkan banyak peningkatan prestasi. Bagi saya kita perlukan lebih banyak lagi perlawanan antarabangsa yang berkualiti,” kata Nasihin selepas tamat perlawanan.
Skuad negara akan turun pada perlawanan seterusnya bertemu Korea Selatan, Khamis ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd