Malaysian Tigress longlai dibelasah Jepun

Malaysian Tigress longlai dibelasah Jepun

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara terpaksa akur dengan kehebatan Jepun apabila tewas 0-4 pada aksi ketiga Kumpulan B saingan kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile, awal pagi tadi.

Dalam aksi berlangsung sengit itu, Malaysia berjaya mengekang asakan lawan sehingga tamat separuh masa pertama tanpa jaringan.

Namun, Jepun mula menemui rentak pada suku ketiga apabila Shiho Kobayakawa membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-39.

Pemain sama sekali lagi menghukum kelekaan benteng Malaysia apabila menambah gol kedua pada minit ke-45 untuk meletakkan Jepun semakin selesa di hadapan.

Jepun terus menguasai permainan selepas itu apabila Hiroka Murayama menjaringkan gol ketiga tiga minit berselang.

Akari Nakagomi kemudian melengkapkan kemenangan bergaya pasukan Matahari Terbit itu apabila meledak gol keempat pada minit ke-55.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan beraksi untuk penentuan tempat 5/8 dan akan berdepan pasukan yang menghuni kedudukan keempat dalam kumpulan A.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke separuh akhir.

Tiga pasukan terbaik setiap kempen kelayakan akan layak secara automatik ke saingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos depan.

Satu lagi slot akan ditentukan berdasarkan ranking dunia membabitkan pasukan di tempat keempat terbaik daripada dua kejohanan kelayakan, dengan satu lagi saingan berlangsung di Hyderabad, India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top