Malbatt 850-13, kontinjen terakhir ke Lebanon selepas hampir dua dekad penyertaan

Malbatt 850-13, kontinjen terakhir ke Lebanon selepas hampir dua dekad penyertaan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Subang Jaya: Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 bukan sekadar pasukan pengaman ke Lubnan, tetapi menjadi kontinjen terakhir yang menamatkan penyertaan bersejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) selepas hampir dua dekad.

Komander MALBATT 850-13, Kolonel Mohd Rizwan Abdullah berkata, misi kali ini membawa tanggungjawab besar dalam memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan operasi serta mengekalkan hubungan baik dengan Angkatan Tentera Lubnan (LAF).

“Kita juga akan melaksanakan aktiviti kerjasama awam tentera untuk mendekatkan diri dengan masyarakat di Lubnan supaya kita dapat sokongan daripada rakyat Lubnan juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontinjen berkenaan sudah melalui latihan intensif merangkumi latihan satu perkhidmatan dan Force Integration Training (FIT) bagi memastikan kesiapsiagaan anggota berada pada tahap terbaik.

“Kontingen kali ini telahpun disiapkan lebih awal, di mana kita telah melaksanakan latihan satu perkhidmatan termasuk latihan darat, laut dan udara.

“Kemudian kami bergabung di MALBATT Village Port Dickson, Negeri Sembilan, untuk melaksanakan Force Integration Training (FIT) selama tujuh minggu.

“Di situ kami bertukar-tukar prosedur untuk dapatkan penyatuan, jadi boleh dikatakan kesiapsiagaan sudah berada di tahap maksimum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui tidak menyangka akan menjadi komander terakhir MALBATT dalam sejarah penglibatan ATM di Lubnan.

“Sebenarnya pada awal ni saya memang tak menjangka pun saya akan jadi komander MALBATT yang terakhir.

“Rasa macam bercampur-baur namun pada masa yang sama saya berasa bangga kerana tetap tercatat sebagai sejarah MALBATT yang terakhir dan terharu kerana berpeluang untuk menabur bakti di bumi Lubnan buat kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Leftenan Kolonel Nor Reahan Mahdera yang turut hadir menyifatkan ahli keluarga sebagai ‘benteng ketenangan’ kepada anggota yang berkhidmat di luar negara.

“Saya sebenarnya mewakili ahli keluarga yang ditinggalkan di belakang. Kami ini sebenarnya adalah misi di balik tabir yang menjadi kubu kepada ketenangan anggota dan pegawai yang melaksanakan misi di Lubnan pada tahun ini.

“Jadi saya harap keluarga yang ditinggalkan kena bersemangat jati dan kuat sebab kekuatan dan juga kasih sayang yang dicurahkan oleh keluarga memberi ketenangan kepada pegawai dan anggota yang melaksanakan misi di Lubnan pada tahun ini,” katanya.

Nor Reahan turut berpesan kepada keluarga anggota supaya terus bersemangat sepanjang tempoh setahun penugasan dan mendoakan keselamatan mereka.

“Harap tuan-tuan dan puan-puan yang berada di belakang tabir bersemangat kuatlah untuk mengharungi setahun ini dan amanat ni juga untuk diri saya serta keluarga saya.

“Semoga tuan-tuan dan puan-puan dipermudahkan urusan di kawasan misi dan berkhidmatlah untuk negara, banggakan nama Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top