am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan (PMGPNS) menyambut baik arahan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) yang mewajibkan khidmat malim gunung berdaftar di Gunung Besar Hantu dan Trans Naning.
Timbalan Pengerusinya, Mahathir Mohd Noor berkata, kedua-dua trek pendakian berkenaan memerlukan persediaan rapi terutama dari segi fizikal, mental dan aspek keselamatan.
Menurutnya, malim gunung bukan sahaja berperanan sebagai penunjuk jalan, malah menjadi individu pertama yang memastikan keselamatan pendaki serta bertindak awal jika berlaku kecemasan.
“Pendaki yang berpengalaman sudah tahu risiko, bahaya dan persiapan yang perlu dibuat sebelum masuk hutan, tapi sekarang ramai masuk hanya ikut trend media sosial, tanpa latihan dan persediaan, malah ada yang bawa air botol kecil sahaja.
“Tidak dinafikan berlaku kecederaan dalam kalangan pendaki dan kebanyakannya kerana tiada persediaan. Tetapi malim gunung terlatih akan cuba selesaikan terlebih dahulu sebelum hubungi pihak keselamatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, selain keselamatan, peranan malim gunung juga penting untuk mendidik pendaki menjaga kebersihan hutan selain menjadi mata dan telinga pihak berkuasa melaporkan salah laku, serta memberi pendedahan tentang alam sekitar kepada pendaki.
Mahathir menjelaskan, hanya malim gunung berdaftar dengan JPNS dibenarkan membawa pendaki di dua trek terbabit selepas menerima arahan pada awal September lalu.
“JPNS menetapkan seorang malim gunung untuk tujuh pendaki. Kalau kumpulan ada lima atau enam orang pun tetap perlu seorang malim gunung,” katanya.
Mengulas lanjut, kini terdapat seramai 77 malim gunung berdaftar dan jumlah itu dijangka bertambah pada fasa kedua pendaftaran akan datang.
Terdahulu akhbar melaporkan JPNS mewajibkan penggunaan khidmat malim gunung berdaftar bermula 1 Oktober ini bagi pendaki Gunung Besar Hantu dan Trans Naning.
© New Straits Times Press (M) Bhd




