Maloney tenang hadapi misi hidup mati

Maloney tenang hadapi misi hidup mati

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah (B-23) tahun negara, Brad Maloney tampak tidak gusar walaupun pasukannya kini ‘diserang’ COVID-19 menjelang aksi hidup mati dalam Kejuaraan B-23 AFF berdepan Laos, di Stadium Nasional Morodok Techno, esok.

Semalam, tiga pemain termasuk Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T Saravanan serta penolong jurulatih, Khan Hung Meng disahkan positif virus itu.

Bagi Maloney, apa yang penting ketika ini adalah mempersiapkan pasukannya untuk memerangkap Laos kerana Harimau Muda memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B susulan kekalahan 1-2 dalam aksi pertama, Jumaat lalu.

Pengendali kelahiran Australia itu berkata, dia juga masih menunggu pengesahan mengenai status dua pemain, Fahmi Daniel Zaaim dan Shafi Azswad Sapari yang sebelum ini terpaksa menjalani kuarantin selepas lebih awal dikesan positif virus itu.

“Ada pemain yang mengalami kecederaan tapi tak serius. Kami akan nilai dan putuskan senarai pemain untuk perlawanan esok. Kami juga berdepan kes COVID-19 dan pasukan perubatan melakukan tugas dengan baik terhadap perkara itu.

“Kami hanya cuba memberikan fokus kepada perlawanan esok. Kami masih menunggu pengesahan untuk Fahmi dan Azswad, jadi sekarang ini kami memiliki 21 pemain yang boleh diturunkan.

“Sudah pasti ia perlawanan yang mencabar dengan Laos memiliki keyakinan penuh susulan kemenangan 2-1. Kami pula perlukan sentuhan jaringan untuk mendapatkan keputusan yang kami dan saya percaya pemain mampu lakukan,” katanya.

Malaysia dan Laos perlu beraksi dua kali dalam peringkat kumpulan susulan penarikan diri oleh Indonesia dan Myanmar disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

Selain itu, Maloney menjelaskan barisan pemainnya tidak terkesan dengan pelbagai kecaman khususnya yang dilemparkan oleh netizen susulan kekalahan mengejut di tangan Laos pada aksi pertama.

“Kami perlu profesional mengenai itu, maksud saya ia sebahagian daripada bola sepak profesional. Sama ada persembahan anda bagus atau tidak, anda mendominasi permainan atau tidak, bola sepak akan dilihat kepada keputusan akhir.

“Kami memberikan pendekatan yang profesional, jadi ia tidak memberi kesan yang besar daripada apa saja komen yang datang dari luar sana. Realitinya kalau kami beraksi dengan baik, kami boleh menang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top