hafizithnin@mediaprima.com.my
BILAKAH kali terakhir anda sebagai orang dewasa membuat pemeriksaan gigi? Mungkin ramai antara kita tidak peka kepada pemeriksaan gigi secara berkala selagi gigi tidak mengalami masalah kesihatan.
Pakar Pergigian, Profesor Seow Liang Lin berkata, sebenarnya orang dewasa perlu lebih proaktif dengan menjadikan pemeriksaan gigi sebagai satu tabiat gaya hidup.
“Perkara ini kerana keadaan yang kronik dan faktor lain akan memberi kesan kepada kesihatan mulut dan kebarangkalian memerlukan perjumpaan lebih kerap.
“Bagi orang dewasa, tidak terlambat untuk mulakan perjalanan ke arah kesihatan mulut lebih sihat.
“Jika selama ini anda jauhkan diri dari pemeriksaan gigi, cubalah bawa sekali seorang kawan yang dapat beri sokongan atau mungkin rancang untuk beri ganjaran kepada diri sendiri usai berjumpa doktor gigi kerana ia boleh membantu merawat keadaan gigi dengan lebih awal,” katanya.
Jelasnya, bagi orang dewasa merokok umpamanya boleh mengurangkan bekalan darah kepada gusi. Ia memburukkan masalah gusi dan membuatkan perokok lebih kerap kehilangan gigi.
“Kencing manis atau diabetes pula beri kesan kepada keupayaan penyembuhan. Akibatnya, individu penghidap diabetes lebih berkemungkinan mengalami kesihatan gusi yang buruk.
“Sementara itu, kesihatan gusi yang baik terbukti ada kaitan dengan kawalan lebih baik dalam pengambilan gula dalam kalangan pesakit kencing manis,” katanya.
Tambahnya, penyakit kardiovaskular seperti yang dapat dibuktikan dari kajian epidemiologikal menunjukkan hubungan positif antara penyakit gusi (periodontitis) dan penyakit jantung koronari.
“Penyelidikan menunjukkan hubungan rapat antara jangkitan kronik dan tindak balas keradangan gusi dalam periodontitis dengan risiko lebih tinggi untuk berlakunya kesan buruk kardiovaskular.
“Pengambilan penyekat saluran kalsium, sejenis ubat yang biasa untuk pesakit darah tinggi yang membawa risiko berlakunya pertumbuhan gusi dikenali sebagai hiperplasia gingival,” katanya.
Menjelaskan hal itu, katanya, keadaan itu menjadikan lebih sukar untuk memflos dan memberus gigi dengan berkesan, lalu menyebabkan sisa makanan terperangkap dan menyumbang kepada kerosakan gigi dan penyakit gusi.
“Rawatan radioterapi digunakan untuk merawat kanser kepala dan leher, memberi kesan kepada kelenjar air liur. Air liur mengandungi kalsium dan kalsium karbonat yang bertindak menghalang kesan asid yang dihasilkan bakteria.
“Keadaan itu menyebabkan kurangnya pengeluaran air liur yang turut mengurangkan perlindungan terhadap hakisan, lalu menyebabkan gigi lebih terdedah kepada kerosakan,” katanya.
Tambahnya, menjalani beberapa rawatan untuk penyakit berbeza dan faktor usia yang meningkat juga boleh menyumbang kepada kurangnya pengeluaran air liur.
© New Straits Times Press (M) Bhd