am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sejak adik hilang seminggu lalu, emosi mama jadi tidak stabil dan kerap menangis. Kami sekeluarga bimbang keselamatannya kerana semua usaha mencarinya menemui jalan buntu, malah telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sejak 24 Ogos lalu,” kata Anis Aqilah Mohd Ariffin.
Anis Aqilah berkata, adiknya, Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar, 27, yang bertugas di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan sedang menjalani kursus di TUDM Bandar Kinrara menghubunginya kali terakhir pada 22 Ogos lalu, sebelum keluar berkelah bersama rakan kemnya ke Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor pada 23 Ogos sebelum dilaporkan hilang hingga kini.
Beliau berkata, laporan kehilangan Muhammad Ammar dibuat keluarganya di Balai Polis Hulu Yam pada jam 10 malam 25 Ogos lalu, selain laporan sama dibuat pihak tentera di Balai Polis Kinrara pada petang hari sama.
Katanya, susulan laporan itu, operasi mengesan Muhammd Ammar dibuat di kawasan pusat rekreasi Sungai Kedondong tetapi gagal menemuinya.
“Sejak adik hilang, ahli keluarga terutama mama, Ummi Rafidah Abdul Samad, 54, yang tinggal di Melaka menjadi sedih dan bimbang keselamatannya. Kami sudah menghubungi semua rakannya termasuk bergegas mencari dia di rumah yang dibelinya di Teluk Intan, Perak, namun semua gagal memberi petunjuk.
“Kali terakhir Muhammad Ammar membaca mesej dalam grup keluarga di aplikasi WhatsApp pada jam 5 petang 24 Ogos lalu, tetapi dia tidak menulis apa-apa.
“Kami terkejut apabila pihak pengurusan Kem Kinrara menghubungi memaklumkan adik tidak hadir kursus dan ketika itu baru tahu adik hilang,” katanya, hari ini.
Anis Aqilah berkata, pada malam 22 Ogos lalu, Muhammad Ammar terbabit kemalangan kecil apabila melanggar belakang kereta seorang pegawai tentera di Subang, tetapi adiknya itu tidak membuat laporan kes berkenaan.
“Adik saya ‘melarikan diri’ daripada kemalangan itu, tetapi pegawai tentera terbabit dapat menghubunginya selepas kejadian berdasarkan nombor plat keretanya.
“Kami tidak pasti adakah adik menyembunyikan diri kerana bimbang dengan kes itu atau sebaliknya. Apa pun kami bimbang kerana kehilangannya sangat mengejutkan kami hingga kini.
“Mama sentiasa menangis rindukannya dan mengadakan solat hajat untuknya. Mama sangat berharap adik menghubungi keluarga dan kita bersama-sama menyelesaikan sebarang masalah jika ada,” katanya.
Anis Aqilah berkata, keluarganya buntu untuk mengesan Muhammad Ammar, malah usaha pihak tentera mencarinya setakat ini juga gagal.
“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui keberadaan adik saya supaya tampil memberikan maklumat kepada polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




