mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sehari yang cukup bermakna buat Mamat Exists apabila diberi pelepasan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta dan sanak saudara, semalam.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 48, berkata dia gembira apabila dapat merasai pengertian sebenar Syawal selain mengimbas semula kenangan dulu-dulu.
“Raya pertama saya berada di Kuang, Selangor. Saya sambut raya dengan keluarga ibu mentua saya, keluarga adik ipar saya dan anak-anak saya.
“Pagi raya selepas bersalaman dan sebagainya, kami terus bergerak ke Johor, di mana saya beraya dengan Kak Long saya sampai petang.
“Selepas itu kami pergi kubur arwah mak dan abah. Perasaan saya memang sedih apabila teringatkan kenangan dengan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Mamat gembira apabila dapat bersama-sama adik-beradiknya termasuk melawat abangnya yang kurang sihat.
“Cuma seorang lagi abang saya tak dapat bersama kami kerana bekerja. Alhamdulillah, dapat jumpa juga sahabat-sahabat handai yang ada di kampung.
“Walaupun saya beraya sekejap saja, satu hari saja di Johor kerana hari ini saya sudah berada di Bentong semula, saya tetap bersyukur.
“Perjalanan untuk raya tahun ni memang baiklah dan memang saya rasa gembira berbanding tahun sebelum ini. Alhamdulillah… doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Mamat kini menjalani pemulihan di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.
Kini, selepas hampir dua tahun menjalani proses rawatan dan pemulihan, dia menjadi salah seorang sukarelawan di kompleks itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




