mohamadridzuan@hmetro.com.my
LEBIH 30 tahun terbabit dalam industri hiburan tanah air, baru sekarang penyanyi Mamat tampil dengan showcase sulungnya, Mamat Mekar Showcase yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur khusus buat peminat, baru-baru ini.
Bukan bermaksud terlambat, sebaliknya ini adalah pembuka lembaran baharu buatnya yang mula bergelar penyanyi rakaman pada usia 13 tahun bersama Exists yang pernah mencipta fenomena pada era itu.
Hakikatnya Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 49, kini bergerak solo dan terbukti banyak perubahan positif dilaluinya selepas hampir dua tahun mendapatkan rawatan dan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bentong, Pahang.
“Syukur showcase sulung ini dapat sambutan daripada peminat setia saya. Mulanya dirancang untuk sesi bertemu peminat sahaja, tapi akhirnya ditukar kepada showcase santai.
“Saya rasa amat lega kerana berjaya membuktikan yang saya masih boleh menyanyi dan masih ada peminat yang menyokong. Showcase ini adalah hadiah buat mereka yang tidak pernah penat berdiri di belakang saya.
“Inilah yang mendorong dan memberi kekuatan buat saya untuk terus menghiburkan mereka selagi ada kemampuan dan diterima. Itu tekad saya,” katanya.
Menerusi showcase ini, Mamat mengembalikan memori peminat semasa zamannya meniti populariti bersama Exists dan kemudian mempertahankannya menerusi album solo.
?Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan oleh Mamat kepada peminat.
Jika sebelum ini sering dibayangi oleh kehebatan kumpulan Exists, Mamat kini mampu tersenyum lebar apabila berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi solo yang masih mempunyai ‘bisa’ tersendiri.
“Saya boleh bergerak solo dan pada masa sama boleh terbabit dengan projek khas bersama Exists. Saya gembira apabila pengurusan saya memberi lampu hijau untuk bersama mereka.
“Selagi ada kontrak dan terma yang jelas, Mekar Management akan mengizinkan, manakala saya akan sentiasa bersedia untuk memenuhi komitmen bersama Exists.
“Saya akui sangat merindui mereka. Kami sudah pun menandatangani kontrak untuk konsert reunion yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada Jun depan dan di Pulau Pinang pada 10 Oktober akan datang,” katanya penuh teruja.
Menurutnya, Mekar Management juga merancang untuk merakam semula lagu lama dengan diberi nafas baharu sebaik sahaja isu hak cipta diselesaikan sepenuhnya bagi memastikan legasi seninya terpelihara.
Sokongan anak dan cucu hadirkan keceriaan
Showcase Mamat Mekar menyaksikan dewan dipenuhi kira-kira 250 penonton yang rata-ratanya adalah peminat tegar penyanyi lagu popular Untukmu Ibu ini.
Mereka adalah saksi hidup perjalanan seni Mamat sejak era awal kemunculannya sehingga sekarang. Penerimaan mereka kepada Mamat kekal positif setiap masa.
Mamat yang pada awalnya kelihatan agak gementar, akhirnya berjaya menyerap tekanan. Malah, dia bijak berkomunikasi, beramah mesra dan bergurau dengan penonton, sekali gus memperlihatkan keintiman seperti tema showcase.
Dia membawakan 10 lagu yang menjadi kegemaran ramai antaranya Dewi Sukma, Nota Di Lautan Sepi, Janji Padamu, Mama Aku Ingin Pulang, Salju Di Danau Rindu, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara dan Untukmu Ibu.
Lagu Untukmu Ibu yang menaikkan nama Mamat dan Exists, dibawakan dengan penuh emosi oleh Mamat menjadikan penonton terdiam menghayati setiap bait lirik.
Penonton tidak berganjak sepanjang persembahan berlangsung kerana lagu yang disampaikan berjaya mengimbas nostalgia silam mereka suatu ketika dulu.
Kualiti muzik berada di tahap tertinggi kerana Mamat diiringi oleh barisan pemuzik profesional iaitu Edrie Hashim (Wings) dan Arif Izo (gitar), Pae Wings (dram), Fuad (keyboard), serta Eddie XPDC (bass).
Sudah tentunya gabungan nama-nama hebat ini menjadikan setiap dendangan lagu hit Mamat kedengaran lebih ‘sedap’ dan bertenaga.
Showcase malam itu juga menjadi sangat bermakna secara peribadi buat Mamat.
Kehadiran dua anak perempuannya, Aleeya Mysara dan Dylea Mysara serta cucunya yang berusia tiga tahun, Haleys Eiki Daniel memberikan kekuatan luar biasa.
Malah, Mamat juga tidak putus-putus menyebut nama mereka sewaktu di atas pentas sekali gus menunjukkan betapa eratnya ikatan kekeluargaan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




