mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ”Masa itu mak saya masih ada. Saya rakam lagu ini dengan arwah Rahim Othman (penerbit album), dia yang mencorakkan lagu ini untuk orang dengar.
“Masa itu saya kecil. Umur baru 13 tahun, jadi saya cuma menyanyi. Abang Rahim kata cuba hayati lagu ini. Tapi macam sekarang ini, bila mak dah tiada, bila saya nak nyanyikan lagu ini impaknya sangat kuat.”
Demikian kata Mamat selepas menyanyikan lagu Untukmu Ibu menerusi Mamat Mekar Showcase yang berlangsung di Ideas Hotel Kuala Lumpur, malam tadi.
Lagu ciptaan komposer Rahim Othman dan lirik tulisan Megat Ismail Megat Ibrahim yang dikeluarkan pada tahun 1991 ini, menaikkan nama Mamat dan kumpulan Exists sehingga menjadi fenomena ketika itu.
Sebelum menyanyikan lagu terbabit yang kekal popular sehingga kini, Mamat dilihat cuba mengawal perasaan agar tidak terbawa-bawa dengan kesedihan sewaktu menyanyikannya.
Manakala penonton yang mulanya diam bagi menghayati nyanyian Mamat, memberikan tepukan gemuruh sebaik dia selesai menyanyikan lagu ini.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 48, berkata, dia jarang menyanyikan lagu Untukmu Ibu semasa persembahan solo ataupun ketika bersama Exists.
Dia bagaimanapun menyanyikan lagu ini atas permintaan penonton yang hadir menyaksikan showcase sulungnya ini.
“Liriknya sangat kuat. Jadi siapa yang ada ibu, tolong sayangi ibu anda. Bila dia panggil itu, kita menyahut.
“Satu masa nanti, tak ada orang yang panggil kita. Ibu kita dah tiada. Masa itulah kita akan rasa satu kehilangan yang dahsyat,” katanya penuh mendalam.
Showcase anjuran Mekar Management ini amat bermakna buat Mamat kerana dihadiri oleh dua anak perempuannya, Aleeya Mysara dan Dylea Mysara serta cucunya.
Ahli keluarga Mamat dari Johor juga turut hadir memberikan sokongan terhadapnya yang kini berada di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bentong, Pahang.
Mamat juga kini menjadi sukarelawan selepas hampir dua tahun mendapatkan rawatan di situ.
© New Straits Times Press (M) Bhd




