Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, menegaskan bahawa tindakan individu yang sengaja menangguhkan pembayaran hutang walaupun berkemampuan disifatkan sebagai satu kezaliman dan boleh memberi kesan terhadap kedudukan roh selepas kematian. Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW melarang perbuatan melambatkan pembayaran hutang dan telah memberi peringatan tegas berhubung sikap tersebut.
“Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman,” katanya.

Jelasnya, sebahagian ulama turut mengkategorikan perbuatan berkenaan sebagai dosa besar kerana melibatkan penganiayaan terhadap hak manusia.
Dalam masa sama, dia turut mengingatkan bahawa roh seseorang mukmin boleh ‘tergantung’ selagi hutangnya belum diselesaikan.
“Roh seorang mukmin itu tergantung dengan hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan bagi pihaknya,” katanya.

Dia berkata, waris kepada si mati bertanggungjawab untuk melunaskan hutang tersebut sama ada melalui harta peninggalan atau inisiatif sendiri bagi memastikan urusan si mati disempurnakan.
Tambahnya, Islam turut menggariskan panduan kepada kedua-dua pihak iaitu penghutang dan pemiutang bagi menggalakkan sikap bertimbang rasa dalam urusan hutang.
“Haram bagi penghutang sengaja menangguh hutang sedangkan mampu membayar, manakala pemiutang pula disunatkan memberi tempoh jika penghutang benar-benar dalam kesusahan.
“Memetik Surah al-Baqarah ayat 280, ‘dan jika orang yang berhutang itu dalam kesempitan, maka berilah tempoh sehingga dia lapang. Dan jika kamu menyedekahkan (membebaskan) hutang itu, maka itu lebih baik bagi kamu’,”kongsinya.
Sumber: Threads Ustaz Wadi Annuar




