'Mampu belek pingat saya saja'

'Mampu belek pingat saya saja'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bangi: Sebelum ini, Mohd Azuan Asmuni lincah, selain aktif hingga pernah memenangi pelbagai acara thriathlon disertainya.

Bagaimanapun, Mohd Azuan, 39, kini terpaksa melupakan sukan kegemarannya selepas disahkan menghidap barah leukemia pada September tahun lalu.

Sejak itu, Mohd Azuan yang memiliki tiga cahaya mata tiada pilihan melainkan berehat di rumah dan menjalani rawatan di hospital.

Tiada apa mampu dilakukan Mohd Azuan untuk mengubat kerinduan terhadap sukan lasak berkenaan selain membelek koleksi pingat dimenangi yang tergantung di rumahnya.

“Asalnya saya sihat dan normal macam orang biasa, demam pun tak ada sebelum disahkan sakit. Tiada simptom pun tapi selepas buat pemeriksaan kesihatan, doktor dapati bacaan darah kuning saya rendah.

“Kemudian, saya dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan menjalani prosedur pengambilan air tulang belakang sebelum disahkan menghidap barah.

“Waktu diberitahu doktor, saya tak tahu nak sedih atau apa, tetapi risau juga dengan penyakit selepas membaca lebih lanjut mengenainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Azuan, doktor yang merawatnya memberi semangat dan jangkaan untuk pesakit barah sepertinya.

“Katanya dalam 100 pesakit, 10 mungkin tak dapat diselamatkan, jadi saya tak boleh buat apa melainkan reda dengan ketentuan. Cuma selepas bincang dengan isteri, saya ikut nasihat doktor untuk menjalani rawatan kemoterapi.

“Rawatan bermula Oktober tahun lalu dan mengambil masa tiga bulan. Selepas itu, doktor sahkan sel barah mati dan ada ikhtiar dengan buat transplan sel darah putih tujuh bulan lalu.

“Sebulan saya duduk di hospital dan tak nafikan agak hilang semangat dalam tempoh rawatan kerana ada ketika badan lemah sangat dan rasa macam terbiar selain susah nak tidur,” katanya.

Namun Mohd Azuan mendapat kekuatan untuk mengharungi ujian itu hasil sokongan isteri, Salwani Suhaida Mokhtar, 44, keluarga dan rakan terdekat.

“Sejak awal lagi, isteri menemani saya di hospital, manakala kawan terdekat pula bantu buat acara fun run bagi mengumpul dana untuk meringankan beban saya.

“Saya bersyukur Allah SWT hadirkan orang baik di sisi tanpa membiarkan saya berseorangan untuk berdepan ujian,” katanya yang kini mencari rezeki dengan menjual air balang di rumahnya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Mohd Azuan berkata, niatnya bukan meraih simpati, tetapi mahu memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga pemakanan untuk kesihatan dan rawatan sesuai buat pesakit barah sepertinya.

Menurutnya, pada masa sama, dia mahu berkongsi untuk mengajak mereka yang senasib supaya belajar menerima hakikat dan reda dengan apa berlaku.

“Saya ada baca juga komen dan Alhamdulillah, ramai mendoakan jadi maklum balas positif itu juga bantu naikkan semangat sebagai pesakit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top