Manchester: Manchester City bersetuju untuk menandatangani pemain tengah Belanda, Tijjani Reijnders dari kelab Serie A, AC Milan dengan kontrak lima tahun bernilai 55 juta euro (RM juta), menurut sumber pasukan, hari ini.
Reijnders, 26, menyertai Milan pada tahun 2023 dengan kontrak lima tahun, yang kemudiannya dilanjutkan sehingga 2030 pada Mac lalu.
Dia sudah membuat 104 penampilan bersama kelab itu dalam semua kejohanan dan memenangi satu gelaran Piala Super Itali.
Prestasinya menyerlah sepanjang musim 2024-25 apabila menjaringkan 15 gol dalam semua kejohanan dan dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik Serie A, walaupun Milan hanya menamatkan musim di tangga kelapan liga.
Reijnders, yang membuat 22 penampilan bersama skuad kebangsaan Belanda dan sebahagian daripada skuad untuk kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Finland dan Malta bulan ini, mengesahkan rundingan antara kedua-dua kelab masih berjalan.
“Kelab-kelab masih berbincang. Bagi saya, saya hanya perlu tunggu dan lihat,” kata Reijnders kepada mingguan Belanda, Voetbal International, hari ini.
“Liga Perdana Inggeris sememangnya liga yang hebat, itu memang impian sejak kecil. Saya masih belum ada sebarang perbincangan dengan (pengurus) Pep Guardiola.”
Penyertaan Reijnders dijangka memperkuat bahagian tengah pasukan Guardiola selepas pemergian Kevin De Bruyne, yang akan meninggalkan kelab selepas sedekad beraksi dan memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, selain menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab pada 2023.
City menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris 2024-25 di tangga ketiga dan hanya berjaya menempah slot Liga Juara-Juara pada hari terakhir kempen.
Mereka akan kembali beraksi dalam Piala Dunia Kelab dan bakal menentang Wydad AC dalam perlawanan pembukaan pada 18 Jun, sebelum berdepan Al-Ain dan Juventus dalam saingan Kumpulan G.
© New Straits Times Press (M) Bhd




