Man City tekad akhiri badi Eropah

Man City tekad akhiri badi Eropah

Budapest: Pep Guardiola menggesa pemain Manchester City melupakan kegagalan dalam saingan Liga Juara-Juara yang lalu selepas menewaskan Borussia Moenchengladbach 2-0 dan mara ke suku akhir dengan agregat 4-0, pagi tadi.

Liga Juara-Juara satu-satunya trofi yang masih menghantui Guardiola apabila City tidak pernah melepasi saingan lapan terakhir sepanjang lima tahun dia mengendalikan kelab itu.

Tetapi pendahulu Liga Perdana berpeluang menamatkan badi bulan depan apabila menjadi salah satu pasukan pilihan selepas mempamerkan prestasi mantap di Budapest.

Jaringan awal Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan membunuh sisa harapan kelab Jerman itu dengan City merekodkan kemenangan ke-24 daripada 25 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

“Apa yang berlaku pada masa lalu, biarkan ia berlalu,” kata Guardiola yang menjulang trofi Liga Juara-Juara dua kali ketika mengendalikan Barcelona terapi gagal mengulanginya bersama Bayern Munich atau City.

“Pada suku akhir, hanya beberapa minit yang buruk boleh menghukum anda. Sekarang, ia saingan kelab terbaik Eropah. Kualiti pada setiap masa adalah tinggi dan harap kami dapat kekalkan ‘mood’ ini.”

De Bruyne dan Gundogan yang tidak beraksi ketika menewaskan Fulham 3-0 pada Sabtu kembali diturunkan Guardiola dan City tampak lebih segar.

De Bruyne membuka tirai menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti pada minit ke-12. Enam minit kemudian, Gundogan yang mendapat hantaran Phil Foden tenang menolak bola masuk untuk gol kedua sekaligus jaringan ke-15nya musim ini.

Gladbach kini tewas kesemua tujuh perlawanan sejak pengurus Marco Rose mengumumkan akan meninggalkan kelab penghujung musim ini untuk menyertai Borussia Dortmund manakala City sudah pasti pasukan yang tidak mahu ditemui pada undian lapan terakhir.

Scroll to Top