London: Manchester United boleh menjadi pasukan ‘sukar dihentikan’ tetapi ia akan mengambil masa dan usaha keras, kata pengurus sementara, Ruud van Nistelrooy.
Bekas penyerang United dan Belanda itu akan mengendalikan pasukan buat kali pertama apabila Leicester City berkunjung ke Old Trafford pada pusingan 16, Piala Liga, awal pagi esok.
Dia dilantik sebagai pengurus sementara selepas pemecatan Erik ten Hag dengan United kini berada di tempat ke-14 di Liga Perdana Inggeris (EPL).
United sudah berusaha mendapatkan pengurus Sporting, Ruben Amorim, walaupun Amorim menyatakan bahawa dia belum membuat keputusan mengenai masa depannya.
Van Nistelrooy pernah bermain selama lima tahun di United dari 2001 hingga 2006, memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala EFL, dan Perisai Komuniti FA. Dia kembali pada musim panas lalu sebagai pembantu Ten Hag.
“Apabila saya kembali pada musim panas sebagai pembantu Erik, itu kerana saya percaya Manchester United boleh kembali ke tahap yang saya pernah lalui di sini sebagai pemain,” kata Van Nistelrooy sebelum perlawanan menentang Leicester.
“Saya masih percaya, tetapi ia akan memerlukan masa dan kerja keras. Kita telah melihat potensi pasukan pada musim ini, tetapi jelas ia masih tidak cukup,” katanya lagi.
Van Nistelrooy, yang pernah menguruskan PSV Eindhoven selama setahun berkata, United ‘boleh menjadi sukar dihentikan’ apabila pemain, kakitangan dan penyokong bersatu.
Tidak jelas sama ada dia akan kekal di kelab jika Amorim dilantik.
Van Nistelrooy berkata: “Walaupun secara sementara, ia adalah satu penghormatan untuk mengurus kelab yang saya cintai selama mana saya diminta untuk melakukannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd