Man United 'buang' Alex Ferguson

Man United 'buang' Alex Ferguson

London: Alex Ferguson akan meninggalkan peranannya sebagai duta Manchester United yang dilaporkan bernilai £2 juta setahun (RM11.2 juta) pada akhir musim ini sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kos.

Bekas pengurus United berusia 82 tahun itu memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua trofi Liga Juara-Juara dalam tempoh hampir 27 tahun di Old Trafford.

Menurut laporan The Athletic, keputusan itu dibuat secara baik dengan Ferguson bersetuju untuk melepaskan peranannya sebagai duta global apabila musim ini berakhir.

Ferguson, yang sering hadir perlawanan United sejak bersara pada 2013, akan kekal sebagai pengarah bukan eksekutif lembaga kelab bola sepak itu.

Langkah ini adalah sebahagian daripada program penjimatan kos yang lebih meluas United di bawah INEOS, yang kini bertanggungjawab ke atas operasi bola sepak di kelab itu selepas pengasasnya, Jim Ratcliffe menyelesaikan pembelian saham minoriti awal tahun ini.

Bulan lalu, United mengumumkan kerugian sebanyak £113.2 juta (RM637.8 juta) bagi tahun yang berakhir pada 30 Jun 2024, tahun kelima berturut-turut mereka mencatatkan kerugian.

Bagaimanapun, kelab itu menyatakan mereka mematuhi peraturan keuntungan dan kelestarian Liga Perdana.

United juga melaksanakan beberapa langkah penjimatan kos, termasuk program pemberhentian pekerja.

Langkah untuk menamatkan peranan Ferguson dianggap sebagai ‘skandal’ oleh salah seorang pemain paling berjaya di bawah bimbingannya, Eric Cantona.

Pemain dari Perancis itu, yang memenangi empat gelaran Liga Perdana dalam tempoh lima tahun bersama Ferguson dari 1992 hingga 1997, menulis di Instagram: “Sir Alex Ferguson sepatutnya boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu di kelab itu sehingga hari dia meninggal dunia.

“Ia adalah langkah kurang rasa hormat yang amat ketara. Ia benar-benar skandal. Sir Alex Ferguson akan sentiasa menjadi bos saya selamanya!”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top