London: Manchester United masih dianggap sebagai pasukan bukan pilihan untuk memenangi Piala FA walaupun empat daripada enam kelab gergasi sudah tersingkir daripada saingan berkenaan.
Skuad The Red Devils memulakan usaha mempertahankan trofi mereka bulan lalu dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Arsenal di Stadium Emirates.
Pasukan kendalian Ruben Amorim mara ke pusingan kelima selepas mencatat kemenangan kontroversi 2-1 ke atas Leicester City.
Peluang United untuk menjuarai trofi itu semakin cerah selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mengalami kekalahan mengejut di tangan pasukan Liga Kejuaraan, Plymouth Argyle.
Namun, mereka bukan pilihan utama untuk memenangi kejuaraan itu.
Beberapa syarikat pertaruhan meletakkan juara Liga Perdana yang sedang bergelut, Manchester City, sebagai pilihan utama untuk menjuarai Piala FA.
Newcastle United pula berada di kedudukan kedua sebagai pilihan, mendahului United yang tampil dengan prestasi tidak menentu musim ini.
Aston Villa yang sedang meningkat naik pula berada di kedudukan keempat dalam senarai pilihan syarikat pertaruhan.
Seperti dijangka, pasukan dari Liga Dua, Doncaster Rovers, mempunyai peluang paling tipis untuk menjuarai kejohanan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




