London: Matheus Cunha terus disisihkan ketika Manchester United berusaha bangkit selepas melalui minggu yang sangat sukar, kata pengurus, Ruben Amorim.
United mengalami kekalahan 0-1 di laman sendiri kepada Everton yang beraksi dengan 10 pemain pada Selasa lalu, sekali gus menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kalah yang sebelum itu menaikkan semangat di Old Trafford.
Skuad Amorim kehilangan Cunha selepas penyerang Brazil itu mengalami kecederaan ketika latihan, menambah lagi masalah ketiadaan Benjamin Sesko yang mengalami kecederaan lutut.
Dua-duanya tidak akan diturunkan untuk aksi menentang Crystal Palace esok, manakala pertahanan berpengalaman, Harry Maguire juga masih belum dapat beraksi.
“Sesko akan ambil masa sedikit lagi. Harry pun sama. Saya jangka Matheus kembali untuk perlawanan seterusnya (menentang West Ham 5 Disember), bukan yang ini.”
Ketiadaan Cunha dan Sesko memberi tamparan hebat buat United, yang gagal menjaringkan gol dalam empat pertemuan Liga Perdana terakhir menentang Palace.
Skuad Amorim perlu menaikkan semula semangat selepas kekalahan memalukan di laman sendiri kepada Everton, yang kehilangan Idrissa Gana Gueye seawal permainan selepas menampar rakan sepasukannya, Michael Keane.
“Ia minggu yang sangat sukar. Kekalahan ini memang pedih, tetapi proses perlu diteruskan dan kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya.
“Kita perlu faham dalam saingan liga musim ini, segala-galanya boleh berubah dengan cepat, jadi kami perlu bangkit semula dan fokus,” kata Amorim.
United kini memburu kemenangan kedua di tempat lawan musim ini berdepan Palace yang tidak tewas dalam 12 perlawanan liga terakhir mereka di laman sendiri.
Skuad Amorim sebelum ini melepaskan kelebihan jaringan ketika menentang Nottingham Forest dan Tottenham awal bulan ini sebelum sekadar mengutip keputusan seri 2-2 dalam kedua-dua perlawanan.
“Sukar nak kata satu punca kenapa kami tidak menang di tempat lawan.
“Banyak isu… kami sedang bertambah baik. Kami perlu tahu bagaimana untuk menghabiskan perlawanan dengan baik kalau mahu menang,” kata Amorim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




