Man United dibawah Carrick terus garang

Man United dibawah Carrick terus garang

MANCHESTER: Manchester United meneruskan kebangkitan di bawah kendalian Michael Carrick apabila menewaskan Tottenham Hotspur yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain menerusi keputusan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut mengukuhkan momentum positif The Red Devils selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga, pencapaian yang kali terakhir diraih kelab itu hampir setahun lalu, pada Februari 2024.

Aksi itu berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila pemain kedua-dua pasukan mengenakan lilitan lengan hitam, selain bendera penjuru turut berwarna hitam sebagai simbol penghormatan kepada mangsa Tragedi Udara Munich.

Insiden tragis itu kekal terpahat dalam sejarah Manchester United selepas mengorbankan 23 nyawa, termasuk lapan pemain pasukan utama kelab berkenaan.

Tottenham yang hadir sebagai juara Liga Europa musim lalu berdepan detik sukar apabila kapten mereka, Cristian Romero diperintahkan keluar padang pada minit ke-29 susulan terjahan berbahaya di bahagian buku lali Casemiro.

Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh United apabila jaringan pembukaan terhasil menerusi sepakan penjuru, dengan Bryan Mbeumo bijak menyempurnakan sepakan sudut pada minit ke-38.

Bruno Fernandes memastikan kemenangan mutlak buat tuan rumah apabila meledak gol kedua lewat perlawanan, sekali gus menutup tirai aksi dengan tiga mata penuh yang terus menyemarakkan keyakinan penyokong di Old Trafford.-AGENSI

Scroll to Top