Manchester: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti sebelum sepakan percumanya disudahkan Benjamin Sesko untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace yang beraksi dengan 10 pemain, sekali gus melonjakkan tuan rumah ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus sementara, Michael Carrick meneruskan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan sejak mengambil alih tugas pertengahan Januari lalu, dengan United kini mengumpul 51 mata daripada 28 perlawanan.
Palace pula jatuh ke tangga ke-14 dengan 35 mata.
United bermula perlahan apabila Palace mendahului seawal minit keempat.
Maxence Lacroix menewaskan Leny Yoro sebelum menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru, jaringan paling awal dibolosi United di laman sendiri musim ini.
Namun, United bangkit selepas rehat. Pada minit ke-57, Fernandes menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Matheus Cunha dijatuhkan oleh Lacroix, yang turut dilayangkan kad merah.
Lapan minit kemudian, Sesko melengkapkan kebangkitan apabila menanduk masuk sepakan percuma Fernandes untuk memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




