Man United sedang pujuk Zidane ganti Ole

LONDON – Manchester United telah mempergiatkan usaha untuk memujuk Zinedine Zidane untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford.

Tekanan semakin memuncak ke atas Solskjaer dengan the Red Devils kini menduduki tangga keenam dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kalah teruk 5-0 di halaman sendiri kepada Liverpool, dan 2-0 kepada jirannya Manchester City.

Setakat ini tiada sebarang petanda mengenai pemecatan Solskjaer akan menyusul dalam masa terdekat ini walaupun dia dilihat terselamat dalam tiga perlawanan terakhir.

Meskipun begitu, kedudukannya masih dalam risiko pemecatan pada bila-bila masa.

Terbaharu, Sunday Times melaporkan United sedang bekerja keras untuk memujuk dan meyakinkan bekas Pengurus Real Madrid (Zidane) untuk menggantikan Ole di Old Trafford.

Zidane, 49, ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab dan sedang bercuti panjang selepas meninggalkan Santiago Bernabeu pada Jun lalu.

Rekod pencapaian Zidane bersama kelab La Liga Sepanyol itu sangat memberangsangkan dengan menjulang Piala Liga Juara-Juara Eropah selama tiga musim berturut-turut dan gelaran La Liga selama dua musim berturut-turut.

Malahan difahamkan, tugas di Theatre of Dream belum cukup meyakinkan Zidane dan dikatakan masih berfikir panjang untuk mempertimbangkan tawaran itu.

Zidane sedang mengintai tugas mengemudi pasukan kebangsaan Perancis dan juga kelab Ligue 1 Perancis, PSG dan dikatakan tidak mahu melayan mana-mana tawaran lain.

Bagaimanapun United yakin hubungan baik Zidane dengan Ronaldo dan Varane semasa di Madrid adalah mampu membantu meyakinkannya untuk menerima tugas berat di Old Trafford.

Keupayaan dan kemahiran Zidane yang dikatakan membina bakat muda dalam kelab menepati budaya Manchester United yang telah lenyap sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan kelab pada musim 2012/2013.

Selain Zidane, pengurus Leicester City yang juga bekas pengurus Liverpool Branden Rodgers juga dikaitkan kuat dengan jawatan sebagai pengganti Ole.

Laporan terbaharu memberitahu, pengurus itu kini dalam pencarian kediaman baharu di kawasan Manchester apabila Manchester United dikatakan di peringkat akhir rundingan bersama individu itu.

Malahan Red Devils juga dikatakan bersedia menyediakan sejumlah dana besar menjelang Januari 2022 untuk Rodgers untuk melabur dalam merekrut pemain baharu untuk memperkuatkan pasukannya.-Daily Mail Sports.