puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Syamel, 33, mengambil langkah untuk menghubungi isterinya juga penyanyi, Ernie Zakri bagi memberi penjelasan berhubung klip video tular yang memaparkan babak bersentuhan dalam sedutan klip muzik video (MV) lagu terbaharunya berjudul Pertama.
Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, tindakan itu dilakukan susulan reaksi kurang senang netizen terhadap babaknya bersama finalis Dewi Remaja 2025, Shermaine Alexander.
“Bila berlaku benda itu, perkara pertama saya buat adalah hubungi isteri saya. Saya tanya pandangan dia dan bila kami tengok bersama-sama, sebenarnya tidak kena pun, itu hanya ‘trick’ kamera,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Pertama, di sini, hari ini.
Bercerita lanjut mengenai dakwaan berlaku sentuhan fizikal ketika penggambaran dijalankan, Syamel menjelaskan ramai yang tersalah anggap dan membuat andaian sendiri tanpa meneliti klip berkenaan dengan teliti.
“Kebanyakan komen tanya kenapa saya pegang perempuan itu? Mereka ingat saya rangkul pinggang, tetapi kalau ‘zoom’ betul-betul, memang tidak kena pun.
“Saya siap hubungi Shermaine untuk ‘double confirm’ dan dia sendiri cakap memang tidak kena,” katanya kepada Harian Metro.
Meskipun menyifatkan ia sebagai salah faham teknikal, pelantun lagu Hidup Dalam Mati ini mengambil pendekatan untuk memohon maaf sekiranya perkara itu mengguris hati mana-mana pihak.
“Saya ambil pendekatan untuk mohon maaf kerana memperlihatkan babak sebegitu. Saya minta maaf kalau ia memberi rasa kurang (senang) kepada sesiapa yang menonton.
“Sebagai seorang yang matang dan berfikiran positif, saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Syamel menerima kecaman ramai selepas memuat naik video pendek penggambaran babak dalam lif bersama Sharmaine di Threads yang didakwa seolah-olah menunjukkan dia merangkul pinggang Sharmaine dalam MV Pertama itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




