'Mana ada ringan, tugas sebagai bendahari sebenarnya makin berat' – Sanusi

'Mana ada ringan, tugas sebagai bendahari sebenarnya makin berat' – Sanusi

hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui tugasnya semakin berat apabila dilantik sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama kekal sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.

Beliau berkata, tugasnya sebagai Bendahari Agung adalah memastikan pengurusan kewangan PN berjalan lancar dan gabungan itu mempunyai dana mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.

Katanya, pengalamannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN sebelum ini, akan digunakan bagi memastikan jentera setiap parti komponen dapat bergerak, walaupun dalam keadaan dana terhad.

“Mereka suruh saya jaga duit jadi saya nak buat audit akaun PN dulu untuk pastikan apa yang kita ada sebelum mula bekerja dan kita nak menguruskan kewangan dalam keadaan paling baik.

“Saya masih Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, di PN sahaja bendahari. Jadi saya kena buat dua kerja, mereka kata ringan jadi bendahari, mana ada ringan, makin berat ada. Jentera PAS masih saya pegang, jadi dua kerja saya kena buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan pengalamannya, perkara penting dalam PN adalah jentera parti komponen yang dapat bergerak, walaupun dalam keadaan dana terhad.

Katanya, kebanyakan dana yang diterima PN adalah sumbangan orang ramai dan ia perlu diuruskan secara dengan baik sebagai amanah yang diberikan ahli parti.

“Jadi untuk itu marilah kita semua menyumbang kepada PN untuk menghadapi PRU-16. Saya pernah cakap ketika Muktamar PAS, satu kerusi Parlimen kita perlu kos operasi sekurang-kurangnya RM1 juta, tapi mereka kata tak betul.

“Jangan tak mahu mengaku pula, saya dengar dari rakan parti lain mereka belanja hingga RM6 juta untuk satu kerusi DUN, ini saya anggar RM1 juta untuk kerusi Parlimen yang ada dua, tiga, empat kerusi DUN.

“Mereka kata tak boleh belanja lebih RM100,000 setiap kerusi, dulu mungkin boleh buat tapi sekarang kos bahan pilihan raya makin mahal, cuma kita tak belanja dalam bentuk tunai, kita belanja dalam bentuk tenaga kerja sukarela yang nilainya sama,” katanya.

Sabtu lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan media memaklumkan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kini memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

Jawatan Bendahari Agung PN pula kini di bawah seliaan Muhammad Sanusi yang sebelum ini adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top