
Harimau Malaya mengesahkan menarik diri daripada menyertai CAFA bulan depan.
KEPUTUSAN Harimau Malaya menarik diri daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) yang akan berlangsung bulan depan memberikan banyak kesan buruk kepada pasukan dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan tindakan FAM itu sebagai tidak profesional dan mencemarkan imej bola sepak negara di mata dunia.
Menurutnya, keputusan menarik diri pada saat akhir walaupun tarikh kejohanan sudah dimaklumkan lebih awal menunjukkan kegagalan FAM dalam merancang dan mengurus kalendar pasukan kebangsaan dengan baik.
“FAM kena lebih matang dan profesional. Keputusan yang dibuat seperti ini langsung tidak membantu dalam usaha meningkatkan taraf Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“Selepas apa yang berlaku, mana FAM nak letak muka? Perkara sebegini bukan sahaja memalukan negara tetapi menjejaskan hubungan dengan penganjur serta konfederasi lain,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM telah mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan CAFA susulan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut FAM, ia telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
Bagaimanapun, alasan tersebut dibidas CAFA yang menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan tarikh berlaku, malah FAM telah dimaklumkan awal mengenai jadual kejohanan yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September 2025.
Dalam pada itu, Mohd Sadek turut mempersoalkan tindakan FAM yang tidak membuat sebarang penjelasan atau permohonan maaf secara rasmi kepada CAFA walaupun kenyataan mereka telah disanggah oleh pihak penganjur.
“Apa yang berlaku ini jelas berpunca daripada kesilapan pihak FAM sendiri. Pada peringkat awal, mereka bersetuju untuk bertanding, jadi tindakan menarik diri saat akhir ini sangat mengecewakan.
“Mereka seharusnya tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan. Kalau berani bertanggungjawab, itulah sikap profesional sebenar,” ujarnya.