Mana mungkin di Pekanbaru, Siti Nurhaliza masih bercuti

Mana mungkin di Pekanbaru, Siti Nurhaliza masih bercuti

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak meluahkan kekesalan apabila nama Biduanita Negara disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Indonesia.

Luahan itu dikongsikan Rozi menerusi hantaran di Instagram berhubung penularan berita palsu kononnya Siti Nurhaliza bakal hadir membuat persembahan di acara Musabaqah Tilawatil Quran (MTQ) Pekanbaru.

“Pihak kami tidak tahu bagaimana nama Siti dipetik dan siapakah orang tengah yang berurusan kerana ini di luar pengetahuan kami.

“Mana mungkin Siti berada di Pekanbaru hari ini, sedangkan beliau masih lagi bercuti bersama keluarga.

“Kami terpanggil untuk menjelaskan agar namanya tidak digunakan oleh pihak tertentu dan juga menjaga nama baiknya kerana pihak pengurusan sendiri tidak pernah bersetuju atau dihubungi,” tulisnya.

Katanya, berita palsu itu membabitkan reputasi dan nama baik sekali gus akan membuka ruang untuk penduduk kota di provinsi Riau terbabit memberi tanggapan negatif kepada Siti Nurhaliza.

“Kami sangat berharap agar pihak penganjur memperbetulkan hal ini kerana ini berkaitan nama dan reputasi Siti walaupun ada artikel yang kemudiannya mengatakan beliau tidak dapat hadir dengan alasan-alasan.

“Perkara ini di luar pengetahuan pihak pengurusan dan kami berharap agar peminat Siti atau masyarakat di Pekanbaru memahami hal sebenar.

“Insya-Allah jika ada peluang di lain waktu dan rezeki, Siti dapat berkunjung kembali ke Pekanbaru,” tulisnya.

Terdahulu, beberapa portal berita dan akaun media sosial menyebarkan berita tidak benar mengenai Siti Nurhaliza yang didakwa bakal hadir ke acara dijadual berlangsung pada malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top