am@hmetro.com.my
Gua Musang: “Saya bimbang dia jatuh ke sungai atau diserang haiwan buas. Sehingga kini adik saya masih gagal ditemui sejak Jumaat lalu, ” ujar Timah Ason, 37, yang juga
suku kaum Temiar dari Kampung Bring Lama, Pos Pasik di sini.
Katanya, dia menyedari adiknya, Zuzina Abine, 32, hilang kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu apabila melihat pintu dapur rumahnya terbuka ketika dia bangun tidur.
“Kali terakhir saya melihat dia sebelum tidur dengan memakai baju berwarna hitam dan berkain batik.
“Saya mencari adik di rumah jiran, namun tidak menjumpainya. Saya terus memberitahu penghulu berikutan bimbang keselamatan adik yang kerap diserang sakit sawan.
“Adakalanya dia diserang sawan sehingga tiga kali sehari. Saya juga bimbang dia jatuh ke sungai atau diserang haiwan liar ketika berjalan seorang diri,” katanya ketika ditemui di sini, tadi.
Menurut Timah, adiknya adalah seorang pendiam dan tidak tidak bergaul dengan penduduk kampung serta belum berkahwin.
Katanya, sebelum ini Zuzina tinggal bersama arwah ibunya di Kampung Gawen, Pos Gob sebelum tinggal bersama di Kampung Bring Lama, Pos Pasik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin berkata, seramai 30 orang kampung digerakkan untuk mencari mangsa sejak jam 10 pagi Jumaat lalu.
Katanya, operasi pencarian dilakukan di sekitar kawasan kampung dengan jarak kira-kira 10 kilometer dari kawasan rumah mangsa.
“Selepas dua hari gerakan mencari dilakukan bermula waktu pagi hingga malam, mangsa masih gagal dijumpai apabila penduduk yang melakukan pencarian.
“Penduduk kampung sudah hentikan operasi pencarian dan kelmarin kakak mangsa sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bertam.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa kerana banyak kes haiwan buas di kawasan penempatan kami,” katanya.
Semalam media melaporkan, seorang wanita Orang Asli dari Kampung Bring Lama Pos Pasik di Gua Musang dilaporkan hilang Jumaat lalu.
Kehilangan Zuzina Abine, disedari oleh kakaknya kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu sebelum keluar mencarinya di kawasan kediaman mereka dan sekitarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




