PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan skuad kebangsaan (Malaysia NT) dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan dituntut untuk tampil memohon maaf secara terbuka kepada peminat bola sepak tanah air.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, ketiadaan satu pun permohonan maaf terutama selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman, adalah sesuatu yang amat mengecewakan memandangkan keputusan itu membuktikan Malaysia sememangnya bersalah.
“Apabila CAS sudah buat keputusan dan menjatuhkan hukuman, keputusan itu kekal dan bermakna kita memang bersalah. Sepatutnya kita move on dengan cepat, hadapi akibat daripada keputusan ini dengan rasa insaf dan menyesali apa yang telah berlaku.
“Tiada siapa yang nak mengaku mereka salah dan biarlah masa yang menentukan siapa dalang sebenarnya kerana pelbagai siasatan sebelum ini sama ada daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), FAM sendiri mahupun penubuhan suruhanjaya masih belum dapat memberikan jawapan.
“Kita pun tak naklah ada orang ini dituduh jadi kambing hitam, orang sini pula tuduh orang sana kambing hitam. Apabila tiada siapa pun nak mengaku, lebih baik kita bergerak ke hadapan membetulkan kembali bola sepak kita,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Khamis lalu, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Sebagai rekod, tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, larangan hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap FAM dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.
Isu berkenaan mula terbongkar pada September tahun lalu selepas FIFA mendapati dokumen dipalsukan digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara yang mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.
Pekan berkata, tidak perlu lagi pertikaian mengenai keputusan CAS tersebut sebaliknya pihak-pihak yang terbabit tampil berjiwa besar dengan mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak Malaysia.
“Sekarang terima sahaja keputusan CAS itu, minta maaf kepada peminat bola sepak Malaysia dengan mengakui kesilapan yang dilakukan. Siapa pun yang terbabit, berjiwa besarlah.
“Janganlah kita bertegang urat lagi. Kesalahan sudah dibuat, kita mengaku sahajalah. Apa lagi yang kita nak pertahankan?” ujarnya.
Ringkasan AI
- FAM dan pengurusan skuad kebangsaan Malaysia disarankan memohon maaf atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan
- Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman, membuktikan Malaysia bersalah
- CAS menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya tetapi memutuskan mereka masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan
- Denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) dikenakan terhadap FAM oleh CAS
- Isu pemalsuan dokumen terbongkar selepas FIFA mendapati dokumen digunakan untuk menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara



