Manchester City buka kempen EPL dengan pesta jaringan

Manchester City buka kempen EPL dengan pesta jaringan

Pengempur Manchester City, Erling Haaland kembali membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol untuk membantu The Citizens membuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, pada Ahad.

Lebih manis, dua muka baharu The Citizens, Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki turut menjaringkan gol sulung masing-masing pada penampilan pertama, sekali gus menghadiahkan Pep Guardiola permulaan sempurna selepas mengharungi musim lalu tanpa sebarang trofi.

Haaland, yang kini menjaringkan gol pada empat aksi pembukaan EPL berturut-turut sejak tiba di England, membuka tirai jaringan pada minit ke-34 hasil hantaran cantik Reijnders kepada Rico Lewis sebelum pemain muda itu melorongkan bola rendah untuk disudahkan penyerang Norway tersebut.

Tiga minit berselang, Reijnders sendiri menemui sentuhan jaringan apabila menerima hantaran Oscar Bobb sebelum menewaskan Jose Sa.

Bobb sekali lagi menjadi arkitek pada minit ke-61 apabila melakukan umpanan menarik untuk Haaland melengkapkan dua jaringannya.

Guardiola kemudian memasukkan Cherki menggantikan Haaland, sekali gus menafikan peluang penyerang berusia 24 tahun itu melakar hatrik ketiga menentang Wolves.

Namun, Cherki tidak menunggu lama untuk menyalakan impak apabila meledak gol keempat pada minit ke-80 seterusnya menutup pesta jaringan City.

Guardiola yang gembira dengan penampilan Haaland berkata: “Erling berada pada rentak terbaik, kami sudah rasai daripada sesi latihan. Saya sangat puas hati dengan persembahannya.”

Sementara itu, Reijnders turut meluahkan kegembiraan apabila membuka akaun jaringan serta mencipta satu bantuan gol pada penampilan sulungnya.

“Untuk bermula dengan gol dan bantuan di EPL memang jadi impian. Kami bermain tenang walaupun Wolves cuba beri tekanan. Empat gol tanpa balas adalah permulaan yang baik,” katanya.

Manchester City selepas ini dijadualkan menentang Tottenham Hotspur di Stadium Etihad pada 23 Ogos.

Scroll to Top