Manchester City sasar sekat kebangkitan Bournemouth di Etihad

Manchester City sasar sekat kebangkitan Bournemouth di Etihad

London: Manchester City berdepan misi penting untuk mengekang kebangkitan Bournemouth yang kini berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila kedua-dua pasukan bertemu di Etihad Stadium, esok.

Skuad bimbingan Andoni Iraola itu muncul antara pasukan paling mengejutkan musim ini apabila hanya tewas sekali daripada sembilan perlawanan, menyamai rekod pendahulu liga, Arsenal.

Antara kemenangan paling bermakna buat The Cherries ialah ketika menewaskan Tottenham di gelanggang lawan pada Ogos dan menundukkan Brighton di laman sendiri sebulan kemudian.

Penyerang sensasi mereka, Antoine Semenyo terus menyerlah apabila sudah meledak enam gol liga, meneruskan prestasi cemerlang selepas mencatat 11 jaringan pada musim lalu.

Walaupun Bournemouth dilihat sedikit melebihi jangkaan berdasarkan statistik seperti ‘expected goals’, pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan memandang rendah kemampuan lawan yang dianggap sedang berada di landasan terbaik.

“Itu soalan untuk Iraola. Tapi bagi saya, walaupun baru sembilan perlawanan, mereka menunjukkan konsistensi yang hebat. Bournemouth kini pasukan yang sukar ditewaskan,” kata Guardiola.

City kini menghuni tangga kelima dengan 16 mata, enam mata di belakang Arsenal dan dua mata di belakang Bournemouth, selepas rekod tanpa kalah lima perlawanan mereka dipatahkan Aston Villa minggu lalu.

Guardiola turut mendapat khabar gembira apabila penyerang utama, Erling Haaland yang mengetuai senarai penjaring EPL dengan 11 gol, disahkan cergas untuk kembali beraksi selepas mengalami sedikit kecederaan ketika menentang Villa.

Juara empat musim berturut-turut itu juga kekal cemerlang dalam saingan lain apabila mengumpul tujuh mata dalam tiga aksi Liga Juara-Juara dan mara ke suku akhir Piala Liga selepas menewaskan Swansea City 3-1 pertengahan minggu ini.

Bournemouth pula berada dalam keadaan hampir sempurna tanpa sebarang kecederaan serius. Penyerang Brazil, Evanilson yang terlepas aksi menentang Nottingham Forest minggu lalu disahkan pulih sepenuhnya dan bakal kembali disenaraikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top