Manchester: Christian Eriksen percaya Manchester United akan muncul sebagai pasukan yang ‘sangat berbeza’ musim depan selepas melalui kempen paling suram dalam tempoh lebih 50 tahun.
United menamatkan musim di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris iaitu kedudukan terburuk sejak mereka tersingkir dari Divisyen Satu pada 1974, sekali gus mencetuskan tekanan terhadap kelab gergasi itu.
Namun, Eriksen, yang bakal meninggalkan Old Trafford selepas tiga musim bersama kelab itu, memuji penyokong United yang tetap setia biar pun pasukan bergelut sepanjang musim.
“Kami bernasib baik kerana penyokong tidak mencetuskan kekecohan. Mereka tetap bersama kami walaupun dalam saat paling sukar,” katanya.
Pemain tengah Denmark itu percaya pengendali baharu, Ruben Amorim, mampu mengubah nasib pasukan dan mengembalikan zaman gemilang Red Devils.
“Saya yakin pasukan ini akan jauh berbeza musim depan. Perubahan sudah bermula, cuma belum diterjemah dalam keputusan musim ini,” katanya.
United menutup musim dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa, hanya beberapa hari selepas tewas mengejut kepada Tottenham dalam final Liga Europa, yang turut menamatkan impian ke Liga Juara-Juara.
Eriksen turut mencatat detik peribadi istimewa apabila menjaringkan gol penalti dalam penampilan terakhirnya untuk United, satu pencapaian bermakna selepas berdepan serangan jantung pada Euro 2021.
Pemain itu mengakhiri kariernya di Old Trafford dengan penuh emosi, sambil mengakui walaupun prestasi pasukan tidak memuaskan, pengalaman bersama kelab itu adalah sesuatu yang istimewa dalam kariernya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




