mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyokong Manchester United Malaysia sudah pastinya mampu tersenyum apabila barisan pemain pasukan kegemarannya itu akan membuat kemunculan di negara ini pada Mei depan.
Pasukan terbabit yang juga juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa mereka kembali ke negara ini buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Juara Eropah tiga kali itu dijadualkan bertemu Asean All-Stars pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
The Red Devils kemudiannya akan bertolak ke Hong Kong untuk bertemu pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Kenyataan kelab itu juga memaklumkan dua perlawanan itu yang diterajui Snapdragon dan diatur oleh ProEvents adalah lawatan pertama dalam era moden kelab itu selain kembalinya mereka ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022.
“Kelab ini terakhir kali melawat Kuala Lumpur pada 2009 dan Hong Kong pada 2013, namun hubungan antara United dan jutaan penyokong setianya di Asia tetap kukuh seperti dahulu.
“Dengan pasukan lelaki yang disahkan akan menyertai ‘Premier League Summer Series’ di Amerika Syarikat sebelum musim 2025/2026, jadual perlawanan pada bulan Mei ini memberikan peluang unik untuk pemain dan staf berhubung secara langsung dengan penyokong di Asia, serta bagi kelab untuk bersama rakan kongsi komersial yang dihargai di rantau ini,” kata kelab itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada, berkata berbesar hati dapat menyediakan jadual yang memberikan peluang kepada penyokong di Asia, Scandinavia, dan Amerika Syarikat untuk berhubung dengan kelab seterusnya menyaksikan pasukan itu beraksi secara langsung.
“Perlawanan ini juga menghasilkan pendapatan tambahan yang penting untuk membantu menjadikan kelab lebih hebat, membolehkan kami terus melabur demi kejayaan di atas padang. Mereka juga mencipta peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan kongsi komersial yang dihargai, dan mengeratkan hubungan dengan penyokong di rantau seperti Asia dan AS,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan semakan Arena Metro terhadap harga tiket mendapat perlawanan itu menawarkan tiket serendah RM50 hingga RM1,500.
© New Straits Times Press (M) Bhd