am@hmetro.com.my
Klang: Pengalaman melihat rakan yang juga transgender meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat beristiqamah menjadi pendorong kepada seorang pemilik salon untuk kembali ke pangkal jalan.
Bekas pondan, Ali Nazrin Zakaria, 47, berkata, dia suka berkawan dengan perempuan sejak kecil namun masih mengekalkan perwatakan seperti lelaki dengan menyertai sukan seperti bola sepak serta takraw.
Bagaimanapun katanya, perwatakan dirinya mula berubah ketika di sekolah menengah apabila mempunyai ramai rakan perempuan.
“Ketika itu, saya mula menunjukkan minat untuk memakai pakaian perempuan serta bersolek. Minat itu berterusan sehingga selepas saya tamat persekolahan. Perubahan itu pastinya mengundang rasa tidak senang dalam kalangan ahli keluarga saya,” katanya.
Ali berkata, dia mula terdetik untuk berubah apabila ramai dalam kalangan rakannya yang juga golongan maknyah meninggal dunia ketika mereka tidak sempat bertaubat.
“Pernah dalam tempoh setahun itu, ada beberapa rakan saya (transgender) meninggal dunia.
“Ketika itu, ada pertubuhan kebajikan yang mengendalikan pengebumian meminta saya memandikan jenazah rakan.
“Pengalaman memandikan jenazah rakan membuka pintu hidayah kepada saya untuk berubah. Saya bertekad menjadi insan lebih baik selain bertaubat,” katanya.
Menurutnya, dia tersentuh dan terkilan apabila memikirkan nasib rakannya yang sudah meninggal dunia namun tidak sempat untuk bertaubat.
“Saya pernah soal diri sendiri, sampai bila nak hidup begini (jadi transgender)? Paling saya risau, di kala usia semakin meningkat, apa yang akan berlaku sekiranya Allah SWT tarik nyawa dan saya tak sempat nak berubah?
“Malah, ketika abah saya nazak, saya menjaganya selamanya dua bulan sebelum dia meninggal dunia akibat sakit tua. Sepanjang menjaga abah, saya gunakan keringat jantan untuk menjaganya sekali gus mengingatkan diri bahawa saya adalah anak lelaki abah,” katanya.
Menurutnya, perkara itu kerap bermain di mindanya sekali gus mendorong dia untuk berubah dengan bantuan ahli keluarga serta rakan dalam komuniti ar-riqab.
Dia mengakui dirinya masih dalam fasa untuk berubah dan mahu berpegang teguh dengan amalan sebagai seorang umat Islam.
“Jika dulu, saya ‘tinggal’ solat. Kini saya akan tunai solat pada setiap waktu. Malah, saya juga belajar mengaji Al-Quran dengan kelas agama bersama rakan.
“Bagi rakan-rakan (transgender) di luar sama yang masih hanyut dalam dunia itu, saya nasihatkan supaya sama-sama kita berubah demi kebaikan bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




