Mandur ladang cedera disamun 3 individu bertopeng

Mandur ladang cedera disamun 3 individu bertopeng

am@hmetro.com.my

Maran: Seorang mandur ladang cedera ketika disamun tiga individu bertopeng di kediamannya di Felda Jengka 8, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 34 tahun berada bersendirian di rumah.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, dua lelaki bertopeng dipercayai memecah masuk melalui pintu dapur yang mana seorang suspek memegang pisau manakala seorang lagi memegang objek keras dibalut kain.

“Suspek mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali nylon serta tali pinggan dan mengugut untuk menikam jika melawan.

“Suspek melarikan wang tunai RM1,000, barang kemas (loket dan rantai) seberat kira-kira 20 gram dianggarkan bernilai RM10,000, sebuah telefon bimbit, kad bank serta kereta Proton Saga FLX milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wong berkata, suspek turut mengugut akan kembali selepas mengeluarkan wang dari akaun mangsa.

Katanya, mangsa berjaya melepaskan diri dan menunggang motosikal ke kedai berhampiran untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan senjata berbahaya dan cubaan membunuh.

“Mangsa menerima rawatan di Hospital Jengka dan berada dalam keadaan stabil,” katanya

Katanya, rakaman percakapan pengadu dan saksi sudah diambil, manakala polis sedang giat mengesan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top