Mandy sambut Tahun Baharu Cina secara sederhana

Mandy sambut Tahun Baharu Cina secara sederhana

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet wushu negara, Mandy Cebelle Chen lebih memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini selepas menjalani latihan serta kejohanan yang padat sebelum ini.

Jika ada atlet lain yang mengambil kesempatan sempena perayaan ini untuk bercuti, lain pula untuk Mandy apabila dirinya lebih suka meraikan perayaan bersama keluarga dan tidak memilih untuk berjalan mahupun bercuti.

“Kami ada latihan seperti biasa, tetapi diberikan cuti seminggu untuk sambutan Tahun Baharu Cina. Untuk saya, tiada perancangan untuk bercuti sebaliknya lebih memilih untuk duduk di rumah, makan dan berehat bersama keluarga,” katanya.

Selain itu, perayaan seperti ini pastinya akan disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat Cina tetapi dirinya pula memilih untuk menyambut secara sederhana dan melihat perkara itu tidak banyak beza daripada hari biasa.

“Sebenarnya saya tidak begitu meraikan Tahun Baharu Cina secara besar-besaran. Saya faham ramai yang menyambutnya, tetapi bagi saya ia sekadar masa untuk bertemu keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

Keputusan yang diambil oleh atlet kelahiran Selangor itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apatah lagi sebelum ini mereka jarang mendapatkan pelepasan cuti panjang.

Justeru, bagi sesetengah atlet, masa berehat di rumah lebih penting untuk memulihkan kembali emosi sebelum kembali menjalani latihan penuh untuk kejohanan akan datang.

Selepas cemerlang meraih emas dalam acara duilian wanita tanpa senjata di Sukan Sea Thailand 2025, fokus Mandy kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk meraih kejayaan lebih besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top