kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) berjaya menamatkan Musim 3 Kempen Keistimewaan Kad Debit-i RHB MySiswa dengan memberi keselesaan tanpa tunai kepada lebih 343,000 pelajar membabitkan transaksi RM389 juta sehingga Januari 2025.
Kempen itu inisiatif kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasa kewangan pelajar universiti awam dan sudah menyaksikan 850 pemenang hadiah bulanan dan lima pemenang hadiah utama, berkongsi jumlah hadiah sebanyak RM240,000 dalam bentuk pulangan tunai dan Deposit-i Murabahah Komoditi.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, Kad Debit-i RHB MySiswa bukan sekadar alat pembayaran dan ia mencerminkan komitmen untuk memperkasa golongan muda di Malaysia dengan pengetahuan dan sumber kewangan yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia digital.
“Inisiatif ini selaras dengan nilai teras RHB Islamic dalam mempromosikan keterangkuman kewangan, memacu inovasi, dan memberikan penyelesaian berpusatkan pelanggan.
“Dengan mengintegrasikan transaksi tanpa tunai yang lancar dengan perkhidmatan penting universiti, kami bukan sahaja meningkatkan kemudahan tetapi juga memupuk tabiat pengurusan kewangan yang bertanggungjawab yang akan menyokong pelajar sepanjang perjalanan akademik mereka dan kesejahteraan kewangan masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sambutan luar biasa daripada musim kempen terdahulu yang menyaksikan transaksi bernilai RM90 juta dalam tempoh 10 bulan.
Beliau berkata, selain daripada pembayaran yang selamat dan lancar, pemegang kad turut menikmati diskaun eksklusif di hampir 100 peniaga, merangkumi makanan dan minuman, pengangkutan, pendidikan, gaya hidup dan telekomunikasi.
“RHB Islamic kekal komited terhadap keterangkuman kewangan dan pemerkasaan pelajar.
“Melalui kerjasama berterusan dengan KPT, kami akan terus meningkatkan faedah Kad Debit-i MySiswa, memastikan pelajar mempunyai akses kepada alat kewangan yang menyokong perjalanan akademik dan kesejahteraan kewangan masa depan mereka,” katanya.
Pelajar universiti awam boleh meneroka faedah Kad Debit-i RHB MySiswa dengan melayari portal RHB Joy@Uni.
© New Straits Times Press (M) Bhd




