Manfaatkan peluang dengan jaringan – Badrul Afzan

Manfaatkan peluang dengan jaringan – Badrul Afzan

Malik Muhamad

bhsukan@bh.com.my

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol adalah peringatan penting ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali kepada anak buahnya.

Jurulatih muda itu turut mengingatkan pemainnya agar tidak melakukan kesilapan mudah dalam misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan selepas tujuh perlawanan berturut-turut sebelum ini.

TFC yang turut mendapat sentuhan bekas penyerang berpengalaman skuad kebangsaan, Hairuddin Omar yang bertindak sebagai penolong jurulatih bakal berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk bertemu Perak FC pada petang esok.

“Saya ingatkan pemain agar tidak leka selain usah melepaskan peluang untuk menjaringkan gol sebagaimana aksi sebelum ini lebih-lebih lagi kita gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan terdahulu.

“Pada masa sama saya meletakkan harapan yang tinggi agar pemain yang bakal diturunkan nanti mampu menyerlah serta menyerap tekanan dalam misi tiga mata,” ujar jurulatih berusia 48 tahun itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Badrul Afzan yang baharu menjawat jawatan itu sejak awal bulan ini bagi menggantikan Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatannya akui bakal melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Selepas gagal mengutip sebarang mata ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada minggu lalu, kami akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top