Mangsa along dakwa pegawai polis tawar RM500 sebagai sogokan, ditekan tarik balik kes

Mangsa along dakwa pegawai polis tawar RM500 sebagai sogokan, ditekan tarik balik kes

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ mendakwa ditawar RM500 oleh seorang pegawai polis sebagai sogokan untuk menarik balik laporan yang dibuatnya berhubung kegiatan jenayah itu, minggu lalu.

Bukan setakat itu, mangsa yang enggan dikenali berusia 40-an itu mendakwa turut dilayan secara tidak adil oleh pegawai polis terbabit selepas membuat aduan berhubung jenayah berkenaan, Rabu lalu.

Mendedahkan perkara itu, mangsa berkata, dia membuat laporan polis selepas menerima ugutan daripada along berkenaan sebelum dihubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk diambil keterangan.

“Pada 1 Oktober lalu, saya hadir ke IPD untuk memberi keterangan. Ketika tiba di bilik Penolong Pegawai Penyiasat (AIO), saya lihat pegawai itu sedang sibuk, lalu menunggu di luar sebelum dibenarkan masuk.

“Di dalam bilik itu terdapat dua kerusi kosong di meja pegawai berkenaan, namun saya terus berdiri kerana tidak dijemput duduk. Saya akhirnya duduk di lantai kerana sudah lama berdiri. Pegawai itu kemudian meminta saya menulis keterangan di atas lantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia terpaksa duduk di lantai kira-kira 30 hingga 40 minit sehingga proses keterangan selesai.

“Saya berasa terhina kerana saya adalah mangsa, bukan penjenayah. Saya hanya melaporkan aktiviti ‘along’ namun tidak sangka dilayan begini,” katanya.

Dua hari kemudian, lelaki itu berkata, dia dihubungi pegawai penyiasat (IO) sama yang meminta beberapa dokumen tambahan berkaitan laporan dibuat.

Katanya, dia menyangka kes berkenaan sudah selesai namun dia sekali lagi dihubungi pegawai polis berkenaan dan diminta untuk menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Saya ditawarkan RM500 oleh pegawai polis berkenaan dan diberi tekanan untuk menarik balik laporan polis itu serta diberitahu jika tidak menarik balik, kes berkenaan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Saya sangat kecewa, saya datang ke balai polis untuk membuat laporan tetapi akhirnya saya menjadi mangsa kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Menurutnya, dia sudah menghubungi Ketua Polis Daerah memaklumkan kejadian yang berlaku terhadap mangsa.

“Kita cuma mahu kesnya bukan sahaja dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, tetapi juga diterima, disiasat dan diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang menetapkan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan orang awam dan menjalankan siasatan dengan adil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top