Mangsa bah trauma beli perabot, peralatan elektrik

Mangsa bah trauma beli perabot, peralatan elektrik

am@hmetro.com.my

Segamat: Setiap kali banjir, perkara pertama membelenggu perasaan penduduk yang terjejas pastinya tentang keadaan rumah yang dinaiki air hingga menyebabkan perabot seperti katil, sofa, kerusi, meja, almari serta perkakasan elektrik rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Penduduk Kampung Seberang Batu Badak, di sini, Maheran Adon, 72, berkata, selepas kejadian bah besar pada awal 2024 lalu, beliau trauma dan serik untuk membeli perabot rumah berkenaan kerana khuatir akan rosak apabila kediamannya dinaiki air lagi ketika banjir.

“Saya ambil keputusan untuk beli perabot asas sahaja seperti almari serta perkakas elektrik antaranya peti sejuk sahaja sebab tidak mahu peristiwa sama berulang apabila rumah dilanda banjir.

“Sebelum banjir besar dan mengejut awal 2024 , boleh dikatakan rumah saya cukup lengkap dengan perabot dan perkakas elektrik yang sesetengahnya saya beli lebih daripada satu seperti televisyen dan almari, tetapi selepas kejadian itu saya sangat berhati-hati untuk membeli,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak di sini hari ini.

Katanya, dia lebih selesa duduk dan berehat atas tikar plastik atau tikar mengkuang di ruang tamu tanpa membeli sebarang perabut.

Raja Shahrin Ismail, 51, pula berkata peristiwa banjir besar 2012, 2015, awal Januari dan Jun 2024 memberi mimpi buruk buat dia dan keluarga kerana kerugian hampir RM22,000 apabila semua perabot dan perkakas elektrik di dalam rumahnya musnah.

“Kalau diingat semula peristiwa banjir tersebut, saya jadi bimbang sebab ketika itu air naik dengan cepat setinggi enam meter dan terpaksa berpindah segera, hanya sempat bawa dokumen penting sahaja.

“Perasaan saat itu hanya Allah sahaja yang tahu kerana begitu dahsyat ujian yang diberikan namun bersyukur nyawa keluarganya masih ada.

“Bila tengok perabot memang kita selalu ingin tukar yang baharu ikut trend terkini seadanya, tapi bila fikir dan ingat semula jika berlaku banjir besar seperti sebelum ini, hati saya terus mengatakan cukuplah dulu dan beli ala kadar sahaja,” katanya.

Sementara itu, Basri Maskon, 37, yang ditemui di Gemerih turut melahirkan rasa sedih apabila mengenang kembali rumahnya yang dilanda beberapa siri banjir antaranya pada 2024 kerana semua barangan perabot yang dibeli hasil daripada titik peluhnya sebagai penoreh getah musnah begitu sahaja.

“Sekarang, sudah mulai kerap hujan cukup sekadar ada barangan asas dan tidak perlu berbelanja lebih untuk barang-barang tersebut kerana setiap tahun dua atau tiga kali rumah saya akan dinaiki air,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top