Mangsa banjir di Kemaman meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu semakin memburuk dengan 1,535 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu, dengan Kemaman paling terkesan.

Sehingga jam 6 petang semalam Kemaman mencatat 1,362 mangsa banjir daripada 333 keluarga ditempatkan di sembilan PPS, iaitu meningkat berbanding 1,310 orang (320 keluarga) pada jam 4 petang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, mangsa banjir melibatkan penduduk di enam kampung iaitu Air Putih, Teladas, FELDA Seberang Tayor, Pasir Gajah, Tebak dan Ban Hoe.

“PPS aktif di Kemaman ketika ini termasuk dua baru dibuka, iaitu Pasir Gajah dan Surau Kampung Ban Hoe.

“Tujuh lagi PPS ialah Dewan Sivik Kampung Air Putih, Balai Raya Kampung Teladas, Dewan Serbaguna Kampung FELDA Seberang Tayor, Masjid Kampung Batu 16, Masjid Batu 14 di Kampung Tebak, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Surau Haji Othman,” katanya.

Namun beliau berkata, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Dungun menurun kepada 159 orang daripada 41 keluarga, berbanding 344 orang (100 keluarga) sebelum itu.

Semua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS, iaitu Dewan Serbaguna Pasir Raja (71), Dewan Serbaguna Kampung Shukor (65) dan Dewan Serbaguna Kampung Minda (23).

Sementara itu, di Marang pula kekal dengan 14 mangsa banjir daripada lima keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang.

 

ZA137 Malay News