Mangsa banjir Kedah melonjak kepada 1,934 orang pagi ini

Mangsa banjir Kedah melonjak kepada 1,934 orang pagi ini

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,934 mangsa daripada 602 keluarga yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah setakat jam 8 pagi hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding yang dilaporkan jam 8 malam tadi iaitu 1,708 mangsa daripada 525 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS di enam daerah.

Daerah Kubang Pasu menjadi lokasi terbaru banjir dan sebuah PPS dibuka jam 8.18 malam semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun menempatkan 23 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Nang Mah dan Kampung Kubang Kayu.

Setakat ini PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kubang Pasu, Baling, Pokok Sena, Sik, Padang Terap, Kulim, dan Pendang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kedah dalam kenyataannya berkata, daerah Kulim masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,294 orang yang dipindahkan di sembilan PPS termasuk satu PPS baru yang dibuka petang semalam.

Jumlah itu meningkat berbanding 1,113 orang daripada 333 keluarga setakat jam 8 malam tadi.

PPS yang aktif di daerah itu ialah Surau Taman Sang Kancil; PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok; PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Ihsaniah Kampung Jangkang, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh; PPS SRJ (C) Khi Min; PPS Dewan Orang Ramai Sungai Karangan; PPS Surau Padang Meha dan PPS SK Merbau Pulas.

PPS baru yang dibuka di daerah itu semalam ialah SJK (C) Aik Chee iaitu seramai 336 mangsa daripada 85 keluarga.

Sementara itu, di daerah Sik, seramai 79 mangsa masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau menempatkan 67 mangsa daripada 22 keluarga manakala PPS SK Kampung Betong di daerah itu seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga.

Dalam pada itu, PPS di Dewan Badminton Tanjung Radin daerah Pendang pula menempatkan seramai 111 mangsa daripada 32 keluarga.

Sementara itu, di daerah Baling, lima PPS yang beroperasi adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong; SK Seri Bayu; Dewan Tun Abdul Razak (lama); dan Kompleks Belia dan Sukan serta SK Sri Jemeli yang menempatkan keseluruhan mangsa banjir seramai 291 mangsa daripada 119 keluarga.

Kenyataan itu berkata, di daerah Pokok Sena pula, PPS di Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan seramai 102 mangsa daripada 32 keluarga dari Taman Puteri.

Di daerah Padang Terap pula, seramai 34 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Badminton Felda Lubuk Merbau setakat ini.

Sementara itu, berdasarkan laman web Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di negeri ini sudah melepasi paras bahaya iaitu masing-masing dua di daerah Pendang dan Kubang Pasu serta satu di daerah Padang Terap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top