am@hmetro.com.my
Melaka: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 989 orang daripada 314 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, jumlah itu meningkat berbanding 970 mangsa yang dilaporkan malam tadi susulan pertambahan penduduk terjejas akibat banjir di dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 20 mangsa di daerah Alor Gajah dipindahkan membabitkan kawasan Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Pulau Semut dan Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah.
“Dua PPS masih dibuka di daerah Alor Gajah iaitu di PERKIM Masjid Tanah dan Balai Raya Kampung Seri Jeram bagi menempatkan mangsa terjejas. katanya.
“Daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 969 orang ditempatkan di empat PPS yang dibuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 menempatkan 716 mangsa daripada 227 keluarga, diikuti SK Taman Bukit Rambai seramai 186 mangsa (55 keluarga), JAPERUN Pantai Kundor seramai 43 mangsa (17 keluarga) dan SJKC Bertam Ulu seramai 24 mangsa (sembilan keluarga).
Jelasnya, sebanyak 34 kawasan terjejas akibat banjir setakat ini, dengan 30 kawasan daripadanya berada di daerah Melaka Tengah.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Batu Berendam, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Tanjung Minyak, Kampung Bertam Ulu, Kampung Batu Hampar dan Rambai Indah.
Menurutnya, pihak APM bersama agensi berkaitan terus memantau keadaan banjir dan bersedia membantu penduduk terjejas, termasuk operasi pemindahan sekiranya keadaan memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




