Mangsa gangguan seksual dalam talian boleh cari keadilan melalui tribunal – Teo

Mangsa gangguan seksual dalam talian boleh cari keadilan melalui tribunal – Teo

Kuala Lumpur: Individu yang menghadapi gangguan seksual dalam talian boleh membawa kes mereka ke Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) untuk mendapatkan keadilan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata, di bawah undang-undang berkenaan, mangsa yang berhadapan komen jelik atau eksploitasi dalam talian mempunyai hak untuk memfailkan saman di tribunal untuk semakan.

Katanya, tribunal yang ditubuhkan pada Mac 2024 itu sangat mudah diakses kerana mangsa boleh mewakili diri mereka tanpa perlu peguam dan semua kes yang dibawa ke tribunal mesti diselesaikan dalam tempoh 60 hari.

“Jika gangguan ini berlaku dalam talian, mengikut undang-undang, kita sebenarnya boleh pergi ke TAGS dan hakim akan memutuskan sama ada ini merupakan gangguan seksual. Mereka akan tentukan sama ada permohonan maaf diperlukan atau kadang-kadang kita boleh mendapat wang ganti rugi,” katanya.

Teo yang juga Ketua Wanita DAP berkata demikian dalam ucapannya semasa pelancaran Program Nasihat Undang-Undang Percuma Wanita DAP Selangor bersempena Hari Wanita Antarabangsa di sini hari ini.

Teo berkata, cabaran besar dihadapi dalam mengendalikan kes gangguan dalam talian, terutama untuk mengenal pasti pelaku yang tidak diketahui identitinya.

Beliau berkata berbeza dengan gangguan fizikal, pelaku gangguan dalam talian sering bersembunyi di sebalik gambar profil palsu atau akaun anonim, menyebabkan sukar bagi mangsa untuk mendapatkan pembelaan.

“Apabila seseorang berkata sesuatu yang sangat seksis kepada kita dalam talian, bagaimana seorang mangsa boleh memulakan tindakan undang-undang apabila pelaku tiada wajah, tiada nama dan tiada akauntabiliti?” katanya.

Teo turut menekankan ancaman yang semakin meningkat daripada keganasan digital yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) seperti pornografi deepfake yang memberi kesan buruk kepada wanita dengan menegaskan bahawa platform teknologi tidak boleh menafikan tanggungjawab mereka dan mesti dipertanggungjawabkan atas alat yang memudahkan perbuatan sedemikian.

“Kita mesti menuntut tadbir urus AI yang inklusif jantina, dengan wanita di setiap meja pembuatan keputusan. Kita juga perlu memiliki budaya akauntabiliti dengan syarikat-syarikat tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan ‘algoritma yang melakukannya’ dan bertindak seolah-olah mereka langsung tiada tanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif DAP Selangor melancarkan Program Bantuan Nasihat Guaman Percuma kepada wanita, Teo berkata matlamat utama inisiatif itu adalah untuk memastikan golongan berkenaan mendapat pandangan awal atau konsultasi undang-undang secara profesional, tersusun dan mudah akses.

Sebagai permulaan, Teo berkata perkhidmatan yang terbuka kepada wanita yang menetap di Selangor dan tidak diwakili mana-mana peguam itu telah menghimpunkan sebanyak 10 panel peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top