Mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu kembali tawan puncak selepas 10 tahun

Mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu kembali tawan puncak selepas 10 tahun

Kota Kinabalu: Hampir sedekad selepas tragedi gempa bumi dahsyat menggegarkan Gunung Kinabalu, dua bekas murid sekolah dari Singapura yang terselamat dalam insiden berkenaan sedia kembali mendaki.

Objektif kali ini bukan sekadar untuk menawan puncak Kinabalu tetapi demi mengenang rakan dan guru yang terkorban.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda sekitar Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015 meragut 18 nyawa, termasuk enam murid dan dua guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong, Singapura.

Portal pengembaraan, Amazing Borneo Tours melaporkan, ketika itu kumpulan terdiri daripada 29 murid dan lapan guru itu sedang mendaki laluan via ferrata.

Kini, selepas 10 tahun, Emyr Uzayr Mohamed Sadri dan Prajesh Dhiman Patel, dua murid yang terselamat kembali semula ke Gunung Kinabalu sebagai lelaki muda mahu menamatkan pendakian tertangguh dan memberi penghormatan kepada kumpulan pendakian mereka yang telah pergi.

Mereka turut ditemani Cornelius, seorang malim gunung dari Taman Kinabalu yang memainkan peranan penting menyelamatkan mangsa dalam detik cemas hari kejadian.

“Saya masih ingat dia (Prajesh) pakai rantai leher warna kuning. Entah-entah dia masih simpan lagi, saya rasa itu rantai bertuah dia,” kata Cornelius sambil tersenyum kecil.

Pendakian pada 20 Mei bagi memperingati ulang tahun ke-10 tragedi itu, secara peribadi bagi Emyr bukanlah sekadar penutup pencapaiannya yang tertangguh tetapi juga untuk penghormatan kepada rakannya.

“Kami tak sempat capai puncak masa itu. Sehari sebelum sampai, gempa berlaku. Jadi kali ini, saya nak habiskan apa yang sudah kami mulakan dan ini untuk kawan-kawan saya yang sudah tiada meninggalkan kita semua.

“Kawan-kawan saya yang dah pergi… mereka yang terbaik antara kami. Sangat suci, sangat matang dan tabah,” katanya.

Prajesh pula berkata, dia masih ingat ketika berusia 12 tahun, dia fikirkan pasti bangga jika dapat menawan puncak Gunung Kinabalu.

“Jadi saya datang semula untuk capai impian itu selain sebagai penghormatan untuk rakan dan guru yang tak tercapai hasrat sama.

“Kami seperti satu keluarga. Saya nak orang tahu betapa baik dan indahnya jiwa mereka,” katanya.

Kini pendakian bukan sekadar cabaran fizikal tetapi perjalanan emosi buat mereka, komuniti setempat dan semua yang pernah melalui trauma sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top