Mangsa insiden Putra Heights buntu dikenakan deposit sewa rumah 3 bulan

Mangsa insiden Putra Heights buntu dikenakan deposit sewa rumah 3 bulan

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights berdepan kesukaran untuk berpindah keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun menerima pelbagai bantuan susulan ada tuan rumah mengenakan deposit sewa rumah sehingga tiga bulan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun kerajaan negeri menawarkan bantuan sewa RM2,000 sebulan untuk tempoh enam bulan namun ada pemilik rumah sewa mengenakan syarat ketat.

Menurutnya, mangsa yang ditemui memaklumkan apabila sudah menemui rumah untuk disewa apabila berurusan dengan tuan rumah dikenakan deposit sehingga tiga bulan.

“Mereka (mangsa) ditawarkan rumah sewa dan bantuan RM2,000 sebulan, tetapi sesetengah tuan rumah minta dua hingga tiga bulan deposit.

“Ini menyukarkan mereka yang baru saja ditimpa musibah,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di Masjid Putra Heights, hari ini.

Saifuddin berkata, seramai 95 keluarga kini masih berlindung di PPS berkenaan dan dijangka PPS ini akan ditutup Ahad ini.

“Sudah ada PPS yang ditutup dan ada yang memohon untuk keluar serta mencari alternatif tinggal di tempat lain.

“Kerajaan akan terus memantau dan membantu dari pelbagai aspek termasuk dokumentasi, kebajikan dan juga sokongan psikososial,” katanya.

Dalam pada itu, pembukaan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen di PPS Masjid Putra Heights membantu mempercepatkan proses penyelesaian dokumen penting mangsa.

Saifuddin berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan kepada Ketua Pengarah JPN dan Ketua Pengarah Imigresen untuk membuka kaunter khas bagi menguruskan hal berkenaan.

“Saya dengar sendiri tadi dan sebahagian besar boleh kata semua mereka mengambil peluang itu seawal hari kedua mereka dipindahkan ke sini.

“Kaunter imigresen dan pendaftaran dibuka dan arahan yang dikeluarkan itu dapat dilaksana dengan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top