Mangsa pelaburan tidak berlesen tuntut keadilan

Mangsa pelaburan tidak berlesen tuntut keadilan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bayangkan semua simpanan hari tua hilang sekelip mata dan kami hanya mahu keadilan, bukan simpati kerana sudah dua tahun menunggu.”

Begitu rintihan antara 232 mangsa skim pelaburan tidak berlesen yang mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM80 juta.

Pesara swasta, Lutfi Daud, 60, berkata dia membuka tiga akaun pelaburan atas nama sendiri, isteri dan anak pada 2023 selepas diperkenalkan oleh seorang ejen.

“Segala dokumentasi lengkap, aplikasi pun nampak rasmi. Tapi selepas tempoh matang, tiada satu sen pun dikembalikan. Jumlah keseluruhan pelaburan saya hampir RM100,000.

“Saya sudah membuat laporan polis, namun belum menerima sebarang perkembangan siasatan setakat ini,” katanya.

Lutfi berkata demikian ketika ditemui menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim.

Sementara ini, pemandu yang mahu dikenali sebagai Iwan, 42, berkata dia menggunakan wang simpanan hasil titik peluh sejak bertahun lalu untuk menyertai pelaburan berkenaan sebelum menyedari ditipu.

“Bukan mudah nak simpan duit, kerja siang malam. Tapi saya fikir kalau boleh gandakan sikit untuk masa depan keluarga, apa salahnya. Rupanya ditipu,” katanya.

Suri rumah dikenali sebagai Aisyah, 50, berkata dia membuat pelaburan berkenaan selepas diyakinkan oleh kenalan yang juga menyertai skim sama.

“Tidak banyak pun, cuma sekitar RM150,000. Tapi bagi saya, itu simpanan seumur hidup. Bila tahu semuanya hilang, saya jatuh terduduk. Rasa malu pun ada,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hadi, 55, dari Johor berkata dia dan isterinya melabur lebih RM2 juta hasil simpanan seumur hidup dalam dua syarikat yang dikaitkan pelaburan itu.

“Empat kali saya tambah pelaburan kerana percaya dengan dokumen yang ditunjukkan, tapi selepas semua lesap, kami rasa dikhianati.

“Laporan polis sudah dibuat pada April lalu, namun sehingga kini tiada sebarang panggilan diterima daripada mana-mana pegawai penyiasat,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada BNM untuk tindakan lanjut dan menyelaraskan laporan rasmi kepada pihak berkuasa lain termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kami harap pihak berkenaan dapat membuka kertas siasatan segera. Ini bukan kes terpencil, ia melibatkan ratusan mangsa yang mengalami kerugian puluhan juta ringgit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top