SUBANG JAYA: Hampir 200 daripada jumlah mangsa letupan paip gas di Putra Heights menyatakan persetujuan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pampasan terhadap pihak bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Peguamcara dari firma guaman Redza Eleena Chong (REC), Farhan Ghani berkata, sebagai wakil penduduk, pihaknya kini sedang melaksanakan persiapan awal termasuk pengumpulan dokumen, penyusunan bukti serta draf tuntutan bersama pasukan guaman dari Tetian Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM).
Katanya, HWAM akan bertindak sebagai peneraju kepada pasukan guaman termasuk melantik jurutera, perunding hartanah dan pakar teknikal bebas untuk membuat penilaian kerugian harta mangsa secara telus dan profesional.
“Buat masa ini, kami bantu dalam kerja penyediaan draf tuntutan mahkamah dan pengumpulan dokumen, manakala tindakan saman nanti akan difailkan oleh firma guaman utama selepas semua data lengkap diperoleh,” katanya ketika ditemui dalam sesi perkongsian perundangan bersama penduduk di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Farhan berkata, baki penduduk yang belum menyertai tindakan itu menganggap kerosakan yang dialami mereka tidak besar, selain sudah menerima bantuan sementara atau pampasan insurans yang dirasakan memadai.
Katanya, segelintir mangsa memilih untuk tidak menyertai tuntutan berkelompok (class action) kerana ingin mengambil tindakan secara peribadi atau menguruskan kes mereka sendiri di mahkamah.
“Terdapat mangsa yang belum dapat menentukan jumlah kerugian sebenar yang dialami, sekali gus menyukarkan mereka untuk menilai tuntutan yang wajar dibawa ke mahkamah.
“Bagi membantu golongan ini, kami juga tampil bagi menyediakan khidmat penilaian profesional. Ini bagi membolehkan mereka mengetahui anggaran kerugian sebenar sebelum memutuskan untuk menyertai tindakan undang-undang secara sah,” katanya. – UTUSAN