Mangsa tanah runtuh tinggalkan isteri, dua anak kecil – Utusan Digital

IPOH: Kebimbangan seorang lelaki terhadap keadaan adiknya selepas gagal dihubungi terjawab apabila lelaki itu terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini.

Mayat Muhammad Hafiz Hamdi, 31, ditemukan pada pukul 10 malam selepas terperangkap hampir 10 jam dalam runtuhan tersebut.

Abang mangsa, Mohd. Kamal, 40, memberitahu, dia mengetahui maklumat kejadian tanah runtuh itu dan berkongsi mengenainya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Bagaimanapun katanya, Muhammad Hafiz yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu tidak memberi sebarang respons.

“Biasanya apabila saya kongsikan apa-apa maklumat, dia cepat beri maklum balas dan beritahu lokasi mana yang terlibat.

“Kali ini, dia diam sahaja. Saya hubungi dia beberapa kali tetapi gagal. Ketika itu, saya memang tidak sedap hati dan bimbang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Menurut Mohd. Kamal, tanda-tanyanya terjawab apabila rakan sekerja adiknya itu memaklumkan Muhammad Hafiz terlibat dalam nahas berkenaan.

Katanya, dia yang masih ragu-ragu tidak menunggu lama dan segera ke lokasi kejadian bagi mendapat gambaran sebenar nahas tersebut.

“Adik mempunyai dua anak yang masih kecil dan dia memang setiap hari berulang memandu lori untuk mengambil sayur dari Cameron Highlands.

“Saya kasihan kepada adik ipar yang masih dalam keadaan trauma. Melihat keadaan itu saya tidak bagi isteri adik manakala ibu di kampung sudah tidak bermaya mendengar perkhabaran ini,” katanya.

Mohd. Kamal berkata, jenazah adiknya akan dikebumikan di kampung halaman di Parit Tanjung Piandang, Parit Buntar.

Selain Muhammad Hafiz, selepas lagi mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, yang ditemukan pada pukul 9.30 malam tadi.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Gua Musang, Kelantan selepas melawat saudaranya di sana. – UTUSAN ONLINE