Manifestasi dua jiwa

Manifestasi dua jiwa

Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my

Penyanyi berbakat besar, Kael kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single keempatnya bersama Alternate Records berjudul Angkasa.

Sebuah karya bergenre balada pop moden yang menyentuh perasaan hasil kolaborasi kreatif bersama komposer terkenal, Omar K dan penerbit muzik berbakat, Iqie Hugh.

Angkasa bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah manifestasi emosi dua jiwa yang mencintai, namun terpisah oleh realiti yang berbeza seperti ibarat siang dan malam berkongsi langit yang sama.

Diilhamkan oleh konsep cinta dua dunia, Angkasa merangkumi tema kesetiaan, harapan dan keindahan dalam ketidaksempurnaan.

“Mesej utama lagu ini adalah mengenai kepercayaan terhadap cinta yang tulus walaupun berada dalam situasi yang tidak ideal.

“Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” jelas Omar K yang turut mencipta melodi indah dan puitis lagu ini bersama Kael dan Iqie Hugh.

Keunikan Angkasa terletak pada susunan muziknya yang minimal, tetapi sarat emosi, membolehkan vokal Kael menyerlah dengan penuh nuansa. Melodinya yang tidak konvensional iaitu lembut, tetapi kuat, sedih namun penuh harapan, menambahkan elemen dramatik yang sinematik dan atmosferik.

Dengan genre pop balada moden yang digabungkan dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik, Angkasa memberi rasa ‘ethereal’ yang melambangkan kebebasan emosi di langit luas.

Lirik-lirik seperti ‘Walau Bulan Dan Matahari Berbeza, Kau Pagi Dan Ku Malam, Tetap Di Angkasa Yang Sama.’ menjadi puisi cinta moden yang mampu meresap ke jiwa pendengar.

Kael yang juga terbabit secara menyeluruh dalam penulisan, gubahan dan pembangunan visual untuk Angkasa meluahkan rasa terharu.

“Lagu ini sangat peribadi. Ia menonjolkan sisi saya yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna.” katanya.

Tambahnya lagi, naskhah ini adalah sebuah lagu cinta paling romantis dalam zaman ini, dihasilkan dengan niat untuk menyentuh hati pendengar.

“Romantis itu tidak boleh dipalsukan. Lagu ini saya dedikasikan kepada semua pasangan, sahabat dan pencinta. Ia sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, ulang tahun, video istimewa, malah hanya untuk menyatakan betapa kita menghargai seseorang yang kita cintai.” kata Kael.

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk penulisan, susunan muzik dan rakaman vokal.

Sesi rakaman vokal utama Kael pula hanya mengambil masa satu hari, hasil kerjasama yang cemerlang antara artis dan penerbit.

Omar K juga mengakui Kael sebagai artis yang amat profesional, bersedia dan bersemangat tinggi ketika berada di studio.

Kael turut berharap Angkasa dapat melangkah lebih jauh.

“Saya berharap lagu ini menjadi kegemaran semua. Doakan supaya Angkasa menembusi negara jiran dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang bersemangat melangkah lebih jauh sebagai artis sejati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top