Kuala Lumpur: ‘Apakah gunanya sistem penilaian jika ia dimanipulasi untuk menyembunyikan kegagalan yang sepatutnya ditangani?’ Persoalan ini telah berlegar dalam kalangan pendidik khususnya guru Sains sejak Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Tahap Penguasaan (TP) diperkenalkan. Kaedah penilaian dalam menetapkan TP tidak selari dan kekangan masa dalam proses penilaian PBD. Akibatnya, penilaian TP dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga, menyumbang kepada ketidakadilan dan bias dalam penilaian. Seorang guru dalam kajian Dr. Muhammad Mustaqim Roslan dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menambah lagi:
“Masalah yang timbul selalunya berlaku kepada murid yang tidak hadir ke sekolah, yang selalu ponteng sekolah tak de sebab kan, yang tak datang sekolah tanpa sebab tu. Jadi tu menimbulkan masalah kepada guru untuk menilai sebab yelah guru sendiri pun bila dia letak TP1, TP2 mesti akan dipersoalkan kenapa budak ni tak boleh lepas TP3 kan. Jadi guru pun jadi masalah lah nak jawab, cari sebab yang kukuh, tak boleh suka hati suka hati”.
Hakikat getir yang disembunyikan ialah guru-guru Sains kini terperangkap dalam dilema antara melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik berintegriti atau akur kepada tekanan arahan pihak atasan yang lebih mementingkan angka daripada realiti. Penilaian murid yang sepatutnya menjadi cerminan sebenar prestasi kini berisiko menjadi sekadar angka yang direka untuk memenuhi sasaran atau statistik yang ditetapkan oleh pihak atasan.
Penurunan prestasi dalam kalangan murid bukanlah sesuatu yang aneh atau tidak rasional memandangkan topik-topik yang diajar selepas penggal pertama lazimnya lebih mencabar dan kompleks, seperti keelektrikan, tenaga, genetik serta koordinasi badan. Namun begitu, kejujuran guru dalam melaporkan prestasi sebenar murid kadangkala disalah tafsir, malah boleh dianggap sebagai kelemahan. Dalam sesetengah keadaan, pendekatan ‘pukul rata’ dan tekanan untuk mengekalkan pencapaian murid boleh menjejaskan semangat pendidik yang berusaha menilai secara telus dan beretika.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Hidayah Mohd Fazil, pensyarah Jabatan Sains dan Matematik Universiti Malaya (UM) dalam kajiannya pada tahun 2022 turut mengesahkan bahawa kandungan subjek Sains adalah mencabar dan memerlukan masa yang mencukupi untuk guru menilai kefahaman dan kemahiran murid secara menyeluruh. Kajian tersebut menyarankan agar diberikan ruang yang lebih fleksibel kepada guru dalam proses pentaksiran bagi memastikan penilaian yang lebih adil dan realistik.
Andai dibiarkan berlarutan, ’penipuan kecil’ dalam pentaksiran Sains akan menjadi kepincangan merosakkan asas pendidikan Sains di negara kita. Jika penilaian dalam menetapkan TP tidak telus dan selari dengan kemahiran saintifik murid, ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pendidikan, malah menggugat kredibiliti bidang profesional Sains pada masa hadapan. Murid Sains yang tidak dididik dengan penilaian yang jujur akan kurang berkemampuan untuk berfikir secara kritis, inovatif, dan menyelesaikan masalah secara saintifik dalam dunia sebenar. Hal ini sekaligus memberi kesan negatif terhadap motivasi guru dan murid, kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan, serta perkembangan inovasi dan penyelidikan dalam bidang Sains.
Pentadbir seharusnya menjadi penyokong utama kepada integriti guru, dengan berusaha menyelami cabaran yang mereka hadapi. Mereka perlu berdiri seiring dengan para guru, khususnya guru Sains dengan empati dan kerjasama, agar segala keputusan dapat diambil dengan penuh kesedaran. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah:
- Menghormati penilaian profesional guru Sains.
- Menyediakan latihan dan pembangunan profesional
- Menggalakkan budaya kecemerlangan
- Mewujudkan suasana kolaboratif di kalangan guru
- Menyediakan sumber mencukupi untuk pengajaran
Pendidikan Sains bukan sekadar melahirkan murid cemerlang di atas kertas, tetapi untuk membentuk insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelek (JERI) seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru Sains perlu dibantu, bukan ditekan, supaya mereka dapat mendidik subjek yang kritikal ini dengan jujur dan beretika. Hanya dengan menjulang integriti dalam penilaian dan pengajaran Sains, kita mampu melahirkan generasi saintis, jurutera, dan doktor yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga luhur dalam jiwa sebagai nadi pembangunan sains dan teknologi negara.
Ditulis oleh:
- Nur Syuhada Binti Mohd Rahimi
- Nurul Afiqah Binti Ahmad Ramzi
- Dr. Mohd Mokhzani Bin Ibrahim
Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)